Oleh Anis Nabilla Md Wazillah
KUANTAN, 14 Mac (Bernama) -- Pengalaman bertarung dengan kanser bukan sahaja mengubah gaya hidup dan corak pemakanan seorang ibu tunggal, malah menjadi titik tolak buat dirinya menghasilkan biskut bebas gluten sebagai makanan alternatif.
Usahawan Maizatul Akmar Rizah Mazlan, 54, berkata idea menghasilkan biskut itu tercetus ketika dia sedang menjalani rawatan selepas disahkan menghidap kanser pangkal rahim tahap dua pada 2018.
“Menghidap barah merupakan titik terendah dalam hidup saya, namun semuanya ada hikmah apabila saya mendapat idea ini dan ia diterima ramai.
“Ketika rawatan, saya perlu lebih berhati-hati dengan apa yang dimakan dan sentiasa mengawal pemakanan. Sukar untuk mencari kudapan yang sesuai dan selamat, jadi saya mula bereksperimen menghasilkan biskut sendiri menggunakan tepung bebas gluten sebagai bahan alternatif,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
pic-2
Bagaimanapun wanita yang mesra disapa Izzah itu berkata bukan mudah untuk menghasilkan biskut tanpa gandum kerana hanya selepas beberapa kali percubaan barulah dia akhirnya menemui formula biskut yang bukan sahaja bebas gluten bahkan kekal rangup, sedap serta menepati cita rasa orang ramai untuk dipasarkan.
“Produk ini semakin mendapat tempat dalam kalangan pengamal diet sihat, mereka yang berkeperluan khas pemakanan termasuk yang didiagnosis dengan penyakit tertentu,” katanya.
Bebas daripada kanser pada 2021, anak kelahiran Kampung Kemahang, Benta di Kuala Lipis itu berkata produk tanpa gluten, iaitu bahan protein melekit yang lazimnya terdapat dalam tepung gandum, dihasilkan di sebuah bengkel yang terletak di kawasan Rukun Tetangga Perkampungan Cenderawasih Timur, di sini.
pic-3
Antara biskut bebas gluten yang dihasilkan beliau termasuklah biskut suji, biskut kacang, biskut kelapa dan biskut triple chocolate selain bijirin oat dan muruku yang dipasarkan dengan jenama Izzah Recipe.
“Saya mula meniaga produk makanan sejak 2011, tetapi selepas disahkan kanser saya olah semula resipi biskut dan memasarkannya dengan buka gerai di pejabat-pejabat kerajaan selain menyertai program jualan.
“Produk bebas gluten ini dihasilkan sepanjang masa, tidak terhad pada musim perayaan sahaja. Harga bermula daripada RM10 hingga RM35 selain saya mempunyai lima stokis dan enam ejen jualan biskut,” katanya.
Beliau berkata produk bebas gluten yang dihasilkannya kini mendapat permintaan tinggi termasuk dalam siri jualan jelajah ke seluruh negara.
pic-4
Berkongsi penglibatannya dalam dunia perniagaan, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata kehidupannya sebelum ini “ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang” selepas bergelar ibu tunggal sekitar penghujung 1990-an.
Tidak mahu terus dibelenggu kemiskinan dia memilih untuk bangkit dan berjaya membebaskan diri daripada gelaran asnaf, hasil daripada perniagaan makanan yang diusahakannya.
Penerima Anugerah Ikon Usahawan Asnaf 2023 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) itu berkata kejayaannya turut didorong dengan bantuan MUIP yang membekalkan mesin pengadun dan bantuan wang tunai di samping mendapat bimbingan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah.
"Ketika 1990-an dan anak masih kecil, saya buat beberapa kerja sehari termasuk sebagai tukang sapu sampah dan cuci pinggan selain mengambil upah membuat kuih. Saya lakukan itu semua kerana ada dua mulut yang perlu disuap (anak-anak) dan perlu dibesarkan.
"Selepas itu, saya mula sedikit demi sedikit mengambil tempahan kuih dan menambah bilangan produk dihasilkan sekali gus meningkatkan pendapatan keluarga kecil kami bagi menikmati kehidupan yang lebih selesa,” katanya.
-- BERNAMA