Oleh Mohd Adli Shahar
KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Sebanyak 230 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mengikuti Program Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) 2.0 yang memberi pengiktirafan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat melalui pensijilan akademik hasil kerjasama strategik antara ATM dengan Kementerian Pengajian Tinggi sepanjang tahun lepas.
Pengarah Bahagian Kerjaya Sosioekonomi Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM Irma Jasmin Ishak berkata daripada jumlah itu, 138 daripadanya adalah anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), 42 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 50 anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Beliau berkata program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang menawarkan pengajian peringkat diploma dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan, Pengurusan Logistik dan Teknologi Pertahanan.
Selain UPNM, beliau berkata bagi tahun ini, sebanyak 231 anggota yang terdiri daripada 141 anggota TDM dan 90 anggota TUDM sedang mengikuti pelbagai pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) merangkumi Diploma Seni Kulinari, Pengurusan Hotel, Pendidikan Islam, Pengurusan dan Teknologi Pejabat serta Pengajian Sukan.
“Program ini giat dipromosikan kerana Kementerian Pertahanan menyedari keperluan pensijilan dalam kalangan veteran ATM bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka untuk meneruskan kerjaya kedua selepas menamatkan perkhidmatan dengan ATM,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Program WBL bertujuan meningkatkan nilai kebolehpasaran anggota dengan pemilikan kelulusan akademik lebih tinggi bagi mendapatkan kerjaya kedua setelah menamatkan perkhidmatan kelak, selain meningkatkan kemahiran kognitif, fungsi kerja, personel, etika dan profesional serta menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.
Sementara itu, Irma Jasmin berkata JHEV terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta melalui Inisiatif Kerjaya Kedua Bermajikan yang menyaksikan sebanyak 1,083 veteran berjaya mendapat pekerjaan pada tahun lepas.
Beliau berkata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merekodkan kadar pengambilan veteran ATM tertinggi dengan lebih 500 bekas anggota mendapat pekerjaan sejak 2021.
Irma Jasmin ketika menyentuh mengenai peluang pekerjaan bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata permohonan kini berada di fasa saringan selepas tarikh tutup pengambilan pada 4 Mac lepas.
“Keperluan AKPS fasa pertama adalah 50 orang veteran ATM secara MyStep Khas untuk ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Pelabuhan Klang,” katanya.
-- BERNAMA