AM

Program Sepatu Raya Benita Bernama Rai 28 Anak Yatim, Asnaf

14/03/2026 02:09 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bernama (Benita) meneruskan tradisi Program Sepatu Raya dengan menyantuni 28 anak yatim dan asnaf dari Pusat Jagaan Rumah Bakti Nur Ain Bangi, Selangor sempena Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin berkata program tahunan Benita itu dianjurkan sebagai usaha agensi berita berkenaan meraikan serta membawa semangat dan suasana hari raya lebih dekat kepada anak yatim dan asnaf.

Beliau berkata Benita memberikan sumbangan kepada rumah anak yatim yang berbeza bagi memastikan anak yatim di kebanyakan kawasan mendapat peluang untuk menerima sepatu raya yang baharu.

“Kami ingin memberi peluang kepada anak-anak ini merasai suasana membuat persiapan raya, di samping membawa keceriaan kepada mereka sempena Aidilfitri.

“Saya berharap momen ini akan menjadi kenangan indah yang sentiasa diingati oleh anak-anak dari Rumah Bakti Nur Ain,” katanya ketika ditemui pada Program Sepatu Raya di Kedai Kasut Bata, Pusat Beli-Belah Ampang Point di sini hari ini.

Beliau berkata penganjuran program itu turut mendapat kerjasama rakan strategik Bernama, iaitu Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd dan Bata Malaysia selain sumbangan daripada warga kerja serta pesara Bernama.

Nur-ul Afida berkata program itu adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bernama yang telah memberi manfaat kepada lebih 600 anak yatim dan asnaf sejak diperkenalkan.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nur Ain Bangi, Selangor Shaizul Karnon Nasir menzahirkan penghargaan kepada Benita Bernama kerana memilih rumah bakti berkenaan sebagai penerima sumbangan sepatu raya pada tahun ini.

Beliau berharap lebih banyak pihak akan tampil menghulurkan bantuan kepada anak-anak di rumah kebajikan itu pada masa hadapan, khususnya sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal.

Dalam pada itu, Pengarah Hal Ehwal Islam dan Hubungan Perniagaan Mamee-Double Decker (M) Sdn Bhd Ahmad Syukry Ibrahim berkata pihaknya komited untuk terus menjalin kerjasama dengan Bernama dalam usaha mempromosikan produk serta program CSR ‘Mamee Prihatin’ yang dilaksanakan sejak sebelum COVID-19.

Sementara itu, bagi Muhd Aidil Abdullah, 18, sumbangan daripada Benita Bernama amat bermakna kerana membolehkannya menyambut Aidilfitri dengan sepatu baharu.

“Untuk persiapan raya, kalau ada pihak yang menaja, barulah ada baju dan kasut raya baharu. Jika tiada penaja, memang tidak ada,” katanya.

Remaja yang kehilangan bapanya ketika berusia 10 tahun itu kini menetap di rumah kebajikan berkenaan.

Seorang lagi penerima, Shaira Adelia, 12, turut menzahirkan penghargaan kepada Benita Bernama atas sumbangan kasut raya baharu yang diterimanya.

“Sudah empat tahun saya tidak menerima kasut raya baharu. Saya sangat teruja dan gembira dapat membeli kasut baharu sempena hari raya tahun ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2534356