AM

DBKL Kenal Pasti 240 Lokasi Bagi Program Lestari Niaga - Datuk Bandar

14/03/2026 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengenal pasti 240 lokasi untuk pelaksanaan naik taraf kemudahan penjaja di bawah program Lestari Niaga, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud.

Beliau berkata lokasi berkenaan dikenal pasti menerusi hasil bancian dijalankan DBKL yang dijangka memanfaatkan kira-kira 10,000 penjaja untuk menikmati kemudahan yang lebih baik menerusi program tersebut.

“Ini selaras dengan cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan semua penjaja ini berniaga dalam keadaan yang sangat selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pengurangan kadar sewa tapak sebanyak 50 peratus bagi penjaja serta premis tertentu di bawah seliaan DBKL, di sini ,hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas lanjut, Fadlun berkata bagi fasa pertama Lestari Niaga, DBKL melantik 61 kontraktor untuk melaksanakan kerja membaiki serta menaik taraf infrastruktur awam melibatkan 120 lokasi, yang dijangka bermula selepas Hari Raya.

“Sebanyak 120 (lokasi) lagi di peringkat kedua akan kita laksanakan segera selepas saja infrastruktur awam ini kita baiki,” katanya.

Mengenai jumlah penguatkuasaan terhadap kes sewa tapak bazar Ramadan kepada pihak ketiga, beliau berkata DBKL telah mengambil tindakan terhadap 17 penjaja yang melakukan perkara tersebut dengan mengarahkan penutupan serta-merta perniagaan mereka.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2534361