DUNIA

Krisis Perkapalan Hormuz Meruncing, Serangan Peluru Berpandu Serantau Meningkat

14/03/2026 09:00 PM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Ketegangan di sekitar Selat Hormuz dan konflik Asia Barat yang lebih luas terus meningkat pada Sabtu ketika serangan, penempatan tentera, dan kebimbangan kemanusiaan memuncak di seluruh rantau itu, menurut laporan pelbagai agensi berita antarabangsa.

Iran telah menyekat sepenuhnya laluan melalui laluan air strategik itu sejak awal Mac susulan pelancaran serangan bersama oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel pada 28 Feb, yang mencetuskan serangan balas peluru berpandu dan dron oleh Tehran serta menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan tenaga global, laluan perkapalan, dan keselamatan serantau.

Iran sedang mempertimbangkan untuk membenarkan jumlah kapal tangki minyak yang terhad melalui Selat Hormuz jika transaksi kargo dijalankan dalam mata wang yuan China, lapor Anadolu Ajansi yang memetik CNN.

Langkah berpotensi itu dibuat ketika gangguan terhadap laluan air penting itu -- yang membawa kira-kira 20 juta tong minyak setiap hari dan kira-kira 20 peratus perdagangan gas asli cecair global -- telah melonjakkan harga minyak global dan menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan tenaga.

Sementara itu, Presiden AS Donald Trump berkata pengiringan tentera laut bagi kapal tangki yang melalui Selat Hormuz boleh bermula "tidak lama lagi" kerana ketegangan masih tinggi.

Anadolu melaporkan bahawa Washington sedang mempertimbangkan untuk menempatkan kapal Tentera Laut AS bagi melindungi perkapalan komersial melalui laluan air tersebut, yang menghadapi gangguan sejak Iran mengenakan sekatan terhadap laluan berkenaan.

Trump juga berkata tentera AS telah memusnahkan semua sasaran ketenteraan di Pulau Kharg Iran, hab eksport minyak utama Tehran yang mengendalikan kira-kira 90 hingga 95 peratus eksport minyak mentah negara itu.

Iran, bagaimanapun, berkata serangan itu tidak menyebabkan kerosakan kepada kemudahan minyak dan memberi amaran bahawa sebarang serangan ke atas infrastruktur tenaganya akan mencetuskan serangan balas terhadap kemudahan AS di rantau berkenaan.

Konflik itu juga mula menjejaskan infrastruktur minyak di negara Teluk jiran.

Anadolu Ajansi melaporkan bahawa beberapa operasi pemuatan minyak di Pelabuhan Fujairah UAE ditangguhkan selepas serangan dron menyebabkan kebakaran susulan pintasan sasaran udara oleh pertahanan udara.

Bahrain berkata ia telah memintas dan memusnahkan 124 peluru berpandu dan 203 dron sejak 28 Feb semasa apa yang disifatkannya sebagai "serangan Iran" yang menyasarkan kerajaan itu.

Pasukan Pertahanan Bahrain berkata sistem pertahanan udaranya telah bertindak balas terhadap gelombang serangan peluru berpandu dan dron berturut-turut sejak akhir Februari.

Di Qatar, Kementerian Pertahanan berkata ia memintas peluru berpandu yang menyasarkan negara itu sementara pihak berkuasa mengosongkan "kawasan tertentu" sebagai langkah berjaga-jaga sementara untuk memastikan keselamatan awam.

Penempatan tentera di rantau itu juga semakin meningkat.

Kyodo News melaporkan bahawa tentera AS telah mula memindahkan lebih 2,000 anggota marin dari Jepun ke Asia Barat, termasuk Unit Ekspedisi Marin ke-31 yang berpangkalan di Okinawa di atas kapal serangan amfibi Tripoli.

Penempatan semula itu, yang mengurangkan tentera AS yang ditempatkan di Indo-Pasifik, dilakukan ketika Iran memperhebatkan serangan berhampiran Selat Hormuz dan ketika Washington berikrar untuk memperluaskan operasi ketenteraan terhadap Tehran, menurut laporan itu.

Iran, bagaimanapun, menegaskan ia tidak mahu berkonflik dengan negara Islam di Asia Barat walaupun berdepan ketegangan dengan AS dan Israel,

Sputnik/RIA Novosti melaporkan bahawa Duta Besar Iran ke Moscow Kazem Jalali berkata Tehran menganggap negara serantau sebagai rakan kongsi dan tidak mencari konflik dengan mereka.

Beliau bagaimanapun memberi amaran, bahawa Iran akan bertindak balas jika serangan dilancarkan dari pangkalan tentera di negara jiran, mengulangi amaran awal Tehran yang disampaikan melalui saluran diplomatik.

Konflik itu juga semakin meluas di seluruh rantau.

Anadolu Ajansi melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 23 orang, termasuk 12 kakitangan perubatan, terbunuh dalam serangan udara Israel di seluruh Lubnan pada Sabtu ketika Israel memperluaskan operasi susulan serangan oleh Hizbullah.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata lebih 822,000 orang di Lubnan, termasuk hampir 300,000 kanak-kanak, telah kehilangan tempat tinggal akibat pengeboman Israel yang berterusan, dengan kira-kira 28,000 kini berteduh di tapak kolektif di seluruh negara.

Operasi kemanusiaan juga berada di bawah tekanan di tempat lain di rantau ini.

Anadolu melaporkan bahawa PBB berkata hampir semua pergerakan bantuan melalui lintasan Kerem Shalom ke Gaza ditolak sejak dua hari lalu, sekali gus menyekat penghantaran bekalan penting secara serius.

PBB juga telah memberi amaran bahawa sekatan ke atas perkapalan melalui Selat Hormuz boleh mengganggu rantaian bekalan kemanusiaan di seluruh dunia secara signifikan, menjejaskan penghantaran bantuan dan meningkatkan kos perkapalan global.

Di tengah-tengah ketegangan yang memuncak, AS telah mengarahkan kakitangan kerajaan bukan kecemasan dan keluarga mereka untuk meninggalkan Oman disebabkan risiko keselamatan yang dikaitkan dengan konflik tersebut.

Pasukan Eropah juga sedang menyelaraskan penempatan mereka.

Agensi Berita Jerman (dpa) melaporkan bahawa Itali sedang bersedia untuk menarik balik tentera yang ditempatkan berhampiran Erbil di utara Iraq susulan serangan dron ke atas pangkalan tentera Itali.

Sementara itu, Jabatan Negara AS telah menawarkan ganjaran sehingga US$10 juta untuk maklumat yang membawa kepada pengenalpastian atau lokasi pemimpin utama Iran, termasuk Pemimpin Agung baharu Iran, Mojtaba Khamenei.

Di rantau Asia Tenggara, Indonesia berkata eksport ke Asia Barat diteruskan walaupun kos pengangkutan meningkat disebabkan gangguan perkapalan yang dikaitkan dengan ketegangan serantau, menurut laporan agensi berita Indonesia ANTARA.

Vietnam pula berkata kedutaannya di seluruh Asia Barat kekal bersedia untuk membantu rakyat negara ASEAN yang menghadapi kecemasan di tengah-tengah konflik yang semakin meningkat, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2534508