PENGKALAN HULU, 15 Mac (Bernama) -- Sebanyak 22 projek naik taraf di bawah program Kampung Angkat MADANI di Kampung Kuak Hulu di sini, yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan (KPM), berjaya disiapkan setakat bulan ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata projek berkenaan ialah sebahagian daripada 32 projek penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran melibatkan nilai keseluruhan lebih RM20 juta.
“Saya bagi contoh untuk Kampung Kuak Hulu ini sahaja, banyak projek yang melibatkan komuniti telah pun selesai seperti dewan sekolah... gelanggang futsal juga telah disiapkan.
“Begitu juga dengan pembaikan cerun (dalam proses), jambatan dan beberapa projek lagi yang saya fikir itu semua telah mendapat manfaat sepenuhnya oleh masyarakat setempat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Santuni MADANI Menteri Pendidikan di Sekolah Kebangsaan Kampung Kuak Hulu di sini malam tadi.
Beliau berkata pembinaan dewan sekolah berkenaan menelan kos RM149,500 manakala gelanggang futsal siap dinaik taraf dengan kos RM200,000.
Beberapa kemudahan lain turut dinaik taraf termasuk dewan orang ramai, tebing sungai, tandas Masjid Al-Bakri dan Padang Cong bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
Fadhlina berkata penyiapan projek utama seperti dewan sekolah turut membuka ruang kepada penglibatan agensi lain untuk menyumbang kepada pengukuhan pembangunan sekolah dan ekosistem pendidikan.
Beliau berkata antara sumbangan yang diterima ialah dua unit Smartboard TV daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn yang dijangka memberi nafas baharu kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) digital di dalam bilik darjah.
“Terima kasih juga diucapkan kepada Perbadanan Kota Buku yang telah menyumbangkan Pod Bacaan Mini berserta kredit pembelian buku bernilai RM5,000 selain lima unit tablet lengkap dengan bahan digital BookR Class bagi kegunaan sekolah.
“Selain itu, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian KPM atas sumbangan peralatan sukan iaitu lima biji bola futsal dan bola takraw serta 20 helai bib jersi untuk menggalakkan murid aktif dan sihat,” katanya.
Fadhlina berkata pelaksanaan program itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dan KPM dalam menyelesaikan isu infrastruktur kritikal yang selama ini membelenggu warga pendidikan serta komuniti setempat.
Kampung Kuak Hulu dipilih sebagai antara lokasi Program Santuni MADANI Menteri Pendidikan pada 2024 selepas kementerian itu melakukan penelitian mendalam selain mengambil kira kedudukan demografinya yang terletak di utara Perak.
-- BERNAMA