AM

Nilai 3 Kembali Meriah Menjelang Aidilfitri

15/03/2026 04:29 PM

NILAI, 15 Mac (Bernama) -- Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini kembali meriah dengan kehadiran pengunjung bukan sahaja dari Negeri Sembilan, malah beberapa negeri lain yang datang membeli pelbagai barangan sebagai persiapan menyambut Aidilfitri.

Suasana seperti itu lazimnya hanya berlaku menjelang musim perayaan apabila rata-rata pengunjung mengambil kesempatan mendapatkan pelbagai barangan pada harga lebih berpatutan.

Tinjauan Bernama mendapati premis menjual pakaian, permaidani, langsir, pinggan mangkuk serta perhiasan rumah antara yang menjadi tumpuan orang ramai.

Peniaga pakaian Muhammad Khani Khan Muhammad Syah, 23, berkata sejak minggu lepas jumlah pelanggan yang datang ke kedainya meningkat dengan ketara untuk membeli baju kurung, kurta, baju Melayu dan tudung.

“Banyak pelanggan sekarang, peningkatan lebih 100 peratus yang datang membeli di kedai kami. Kalau pada bulan biasa hanya hujung minggu ramai orang tetapi sekarang hampir setiap hari ada pengunjung yang datang membeli. Alhamdulillah,” katanya kepada Bernama di sini.

Pendapat itu turut disokong peniaga karpet, Hassan Karimi, 42, yang berkata jualan permaidani di kedainya memberangsangkan, terutama bagi jenis Dubai, Tatami, Velvet dan karpet Turki yang dijual pada harga antara RM20 hingga RM900 bergantung kepada jenis serta saiz.

“Kalau dulu untuk menjual 10 karpet sehari pun agak sukar tetapi sejak minggu lepas ramai datang membeli dan jualan meningkat lebih dua kali ganda,” katanya yang telah berniaga lebih 10 tahun.

Sementara itu, seorang pengunjung Nurul Aisyah Mohd Ghazali, 34, berkata dia memilih untuk membeli-belah di pusat perniagaan itu bersama keluarganya kerana terdapat pelbagai pilihan barangan keperluan rumah pada harga yang lebih berpatutan.

Pengunjung dari Gombak, Selangor itu berkata walaupun terpaksa mengharungi kesesakan jalan raya, terutama pada hujung minggu, dia tetap sanggup datang ke lokasi itu untuk membeli karpet dan langsir.

“Kalau di kedai luar, karpet Dubai bersaiz XXL boleh mencecah RM150 tetapi di sini kami boleh membelinya dengan harga sekitar RM60 sahaja, sangat menjimatkan,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Seorang lagi pengunjung, Latifah Baba, 58, yang juga suri rumah dari Melaka berkata walaupun terdapat sedikit kenaikan harga bagi beberapa barangan pada musim perayaan ini, harganya masih murah berbanding di kedai lain.

Latifah berkata dia akan datang ke pusat perniagaan itu sekurang-kurangnya dua bulan sekali untuk membeli tudung dan jubah.

“Di sini banyak pilihan dan harganya juga berbaloi. Biasanya tudung sarung tiga lapis dijual sekitar RM49 di luar tetapi di sini boleh didapati antara RM28 hingga RM30. Kalau pandai menawar, harganya boleh jadi lebih murah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2534659