TEHRAN, 16 Mac (Bernama-MNA) -- Sebanyak 153 kemudahan penjagaan kesihatan di Iran rosak susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel baru-baru ini, umum Kementerian Kesihatan, Rawatan dan Pendidikan Perubatan negara itu, lapor Agensi Berita Mehr (MNA).
Antara kemudahan yang rosak, 56 pusat perkhidmatan kesihatan komprehensif membentuk jumlah terbesar.
Selain itu, 25 stesen kesihatan, 18 pusat kesihatan di bandar serta 18 klinik kesihatan komuniti turut mengalami kerosakan dalam insiden berkenaan.
Turut tersenarai dalam kemudahan yang mengalami kerosakan ialah satu pejabat kesihatan, tiga pusat perkhidmatan 24 jam dan tiga pusat pengurusan krisis, selain 29 kemudahan lain.
Antara universiti sains perubatan, Kermanshah University of Medical Sciences mencatat jumlah kerosakan tertinggi dengan 42 kemudahan kesihatan terjejas.
Ia diikuti Isfahan University of Medical Sciences dengan 19 kemudahan kesihatan. Selain itu, masing-masing 10 kemudahan kesihatan dilaporkan rosak di universiti sains perubatan di Hamedan, Ilam, Shahid Beheshti dan Chabahar.
Menurut laporan itu, lapan kemudahan kesihatan rosak di Ahvaz University of Medical Sciences, enam di Urmia, masing-masing lima di Tehran dan Abadan, serta masing-masing empat di universiti sains perubatan Shiraz dan Lorestan.
Universiti Qom, Iran dan Maragheh masing-masing mencatat tiga kemudahan kesihatan yang rosak; universiti Tabriz, Sarab, Alborz dan Dezful masing-masing dua kemudahan kesihatan; manakala universiti Mashhad, Qazvin dan Behbahan masing-masing satu kemudahan rosak.
Laporan itu turut menyatakan bahawa susulan insiden berkenaan, lawatan ke pusat kesihatan 24 jam turut direkodkan; dalam kalangan kakitangan, 22 individu dibenarkan pulang selepas menerima rawatan perubatan, dua individu dipindahkan ke hospital dan tiga individu terkorban, termasuk seorang dari Shiraz dan dua dari Lorestan.
-- BERNAMA-MNA