AM

ATM Jana RM25,000 Melalui Projek Pertanian Komuniti Di Kem Tentera

16/03/2026 01:45 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Program Ekonomi MADANI Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menjana pendapatan RM25,000 melalui pengeluaran kira-kira satu tan hasil pertanian setakat Februari lepas.

Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Markas ATM Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata kejayaan itu dicapai menerusi 96 projek yang sedang dilaksana di 60 kem tentera di seluruh negara sejak inisiatif berkenaan diperkenal pada 2025.

Beliau berkata program itu melibatkan komuniti keluarga tentera dalam pelbagai aktiviti ekonomi termasuk ternakan kelulut, tilapia, tanaman hidroponik,  tanaman bandar dan pemprosesan makanan retort.

“Ini ialah program pembangunan sosioekonomi yang memberi perhatian kepada kebajikan keluarga anggota tentera dengan sinerginya daripada Kementerian Pendidikan Tinggi dan institusi pengajian tinggi (IPT) selain anak syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) iaitu Boustead Plantation serta Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA).

“Menerusi fasa satu dan fasa dua program ini tahun lepas, sebuah kem berjaya menjana pendapatan RM18,000 melalui pengeluaran tanaman cendawan, dan ini merupakan pendapatan yang baik untuk komuniti tentera,” katanya ketika menjadi tetamu rancangan Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Susulan impak positif itu, Zahari berkata ATM merancang memperluas program berkenaan tahun ini dengan menyasarkan tambahan 60 projek baharu di 30 kem tentera di seluruh negara.

Beliau berkata penambahan program juga akan memberi tumpuan kepada peningkatan penyertaan komuniti dalam kem, pendedahan kepada teknologi pertanian moden serta usaha memaksimumkan hasil pengeluaran.

“Harapan pihak Kementerian Pertahanan dan juga ATM secara keseluruhannya agar ekosistem ini dapat diteruskan dengan penglibatan dan komitmen komuniti tentera untuk kelangsungan program ini,” katanya.

Zahari juga berkata idea pelaksanaan program itu dicetuskan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 2024, yang kemudian membawa kepakaran daripada pihak IPT ke dalam pelaksanaannya.

Beliau turut memaklumkan bahawa hasil pertanian program itu, khususnya cendawan yang diusahakan melalui konsep tanaman bandar, boleh dibeli oleh orang ramai di cawangan PERNAMA di kem tentera seluruh negara.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2534893