KUALA LUMPUR, 16 Mac (Bernama) -- Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan telah menerima surat rayuan daripada bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin untuk kembali menyertai parti itu.
Ahmad Zahid berkata permohonan itu diterima daripada Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau yang hadir menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO, semalam.
“Insya-Allah, secara peribadi saya telah menerima permohonan ini dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Naib Presiden UMNO) untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya,” katanya dalam perkongsian di Facebook.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata seiring dengan makna sebenar Rumah Bangsa, ia merupakan ikhtiar untuk menemukan semula yang berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan dan menghimpunkan semula dalam satu keluarga besar perjuangan.
“Dalam perjalanan perjuangan ini, seperti yang sering saya sebut, biduk lalu, kiambang bertaut. Yang lebih utama ialah mencari jalan penyatuan, bukan membiarkan perpecahan terus memisahkan kita.
“Mudah-mudahan Rumah Bangsa menjadi asas untuk kita mempertemukan semula hati-hati yang pernah terpisah, memperkukuh saf perjuangan, dan mengembalikan kekuatan UMNO sebagai induk politik orang Melayu dan umat Islam di tanah air ini,” katanya.
Pada 6 Mac lepas, Ahmad Zahid berkata UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahlian serta individu yang ingin bersama dalam perjuangan parti untuk menyertai parti itu.
Ahmad Zahid berkata dalam semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, segala kekhilafan serta perbezaan lalu dimaafkan sepenuhnya bagi membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh kembali keluarga besar UMNO.
Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan dipecat daripada parti itu pada 23 Jan 2023 atas sebab pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebelum ini, beliau turut mengkritik UMNO secara terbuka dengan mendakwa parti itu telah tersasar daripada hala tuju asal, serta lantang mengkritik kepimpinan parti dan menggesa reformasi dalaman termasuk kepimpinan tertinggi UMNO selepas PRU15.
Selain pernah bertanding bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh pada PRU15 atas tiket Barisan Nasional, beliau juga pernah bertanding jawatan presiden UMNO pada pemilihan parti 2018.
-- BERNAMA