AM

Lemang Tok Singa Dapat Sambutan Luar Biasa

17/03/2026 10:12 AM

KUALA NERUS, 17 Mac (Bernama) -- Perniagaan Lemang Tok Singa yang diusahakan anggota Batalion Ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD)(Para) di Kem Seri Pantai menjadi tarikan orang ramai sepanjang Ramadan.

Dalam tempoh tidak sampai 20 minit, sebanyak 100 batang lemang berjaya dijual sehari, tidak termasuk tempahan awal daripada pelanggan .

Pegawai Memerintah Batalion Ke-18 RAMD (Para) Left Kolonel Mohd Ashafiq Abdul Aziz berkata beliau tidak menyangka sambutan orang ramai amat luar biasa.

"Pada hari pertama kami hanya menghasilkan 50 batang lemang sebagai percubaan awal. Tetapi tidak sangka sambutan pengunjung di luar jangka menyebabkan kami terpaksa meningkatkan pengeluaran sehingga 250 batang sehari.

"Itu pun masih tidak mencukupi. Ramai pelanggan yang datang mengeluh kerana terpaksa pulang hampa apabila lemang habis tak sampai 20 minit," katanya ketika ditemui di Kem Seri Pantai, Seberang Takir, dekat sini.

Mohd Ashafiq berkata tujuan utama penjualan lemang bukan semata-mata untuk meraih keuntungan, sebaliknya sebagai usaha mendekatkan diri dengan masyarakat setempat.

Katanya, inisiatif ini selaras dengan tonggak keenam Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera Ke-24 iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bersama Masyarakat, Bagai Aur Dengan Tebing dan Perintah Ulung Panglima Tentera Darat (PTD) 31 yang melambangkan kesatuan, perpaduan dan kebanggaan.

"Selain itu, kami juga ingin memudahkan penduduk setempat yang teringin makan lemang panas-panas kerana tidak ada peniaga yang menjual di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

"Tetapi tidak sangka pula yang datang bukan sahaja rakyat Terengganu, malah pelanggan dari Kelantan dan Pahang yang ingin merasa air tangan askar," katanya sambil menambah turut membuat siaran langsung di laman sosial Facebook setiap hari.

Mohd Ashafiq berkata keistimewaan Lemang Tok Singa, yang namanya diinspirasikan daripada identiti pasukan, terletak pada penggunaan daun lerek yang menghasilkan aroma lebih wangi dan rasa lebih sedap.

Tambahnya, penggunaan santan segar yang pekat turut membuatkan tekstur lemang lebih lembut, berlemak dan berkilat.

Menurutnya, setiap hari sebanyak 20 anggota yang tidak terlibat dengan penugasan kerja akan terbabit dalam proses penyediaan lemang bermula seawal 9 pagi.

"Bekalan buluh dan daun leret sukar didapati di sini (Kuala Terengganu). Jadi kami terpaksa membeli dari Kelantan untuk stok yang banyak dan bagi mendapatkan harga lebih rendah.

"Lemang kami yang bersaiz besar dijual pada harga RM20 sebatang. Tetapi setiap hari kami juga akan menyediakan 10 lemang untuk diinfaq kepada warga emas berusia 70 ke atas, wanita mengandung dan Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya.

Mohd Ashafiq berkata untuk sambutan Aidilfitri, pihaknya hanya mampu menyiapkan tempahan sebanyak 600 batang lemang disebabkan kekangan masa serta tenaga.

Bagaimanapun katanya, jualan akan diteruskan pada hari raya kedua hingga ketujuh bagi memberi peluang lebih ramai dapat menikmati keenakan Lemang Tok Singa.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2535168