KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Sektor utiliti Malaysia dilihat lebih terlindung daripada kejutan tenaga akibat ketegangan geopolitik pada masa ini berbanding kebanyakan negara ASEAN lain sama ada dari segi kebolehpercayaan sistem mahupun pendapatan sektor, menurut CGS International Securities.
CGS International berkata walaupun campuran penjanaan elektrik negara yang banyak bergantung kepada arang batu dan gas menyebabkan sistem tenaga terdedah kepada pergerakan harga bahan api global, impaknya dikurangkan melalui rangka kerja tarif terkawal yang mempunyai mekanisme pemindahan kos bahan api, harga gas yang sebahagiannya dikawal serta asas bekalan gas domestik yang kukuh.
"Sehubungan itu, kenaikan harga arang batu dan gas mungkin membawa kepada beberapa pelarasan tarif yang meningkat dari semasa ke semasa, namun kami melihat keadaan ini sebagai sesuatu yang boleh diurus, dengan impak langsung yang terhad terhadap pendapatan syarikat utiliti dan risiko gangguan bekalan elektrik yang rendah.
“Bagaimanapun berbeza dengan YTL Power International Bhd yang terdedah kepada pasaran tenaga bebas di Singapura sekali gus menjadikan pendapatannya lebih sensitif terhadap pergerakan harga bahan api,” katanya menerusi nota penyelidikan hari ini.
CGS International menganggarkan kira-kira 85 peratus bekalan gas Malaysia diperoleh daripada sumber domestik (termasuk sekitar lima hingga 10 peratus dari Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (JDA) manakala selebihnya dibekalkan melalui import gas asli cecair (LNG).
Dalam tempoh enam tahun lepas, Malaysia kebanyakannya mendapatkan import LNG dari Australia, yang merangkumi 96 peratus daripada import LNG pada 2025 manakala Brunei muncul sebagai pembekal kedua.
“Menariknya, Malaysia tidak mengimport LNG secara langsung dari Timur Tengah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini sekali gus mengehadkan pendedahan terhadap gangguan geopolitik di rantau itu,” katanya.
Secara keseluruhan, menurut firma sekuriti itu, asas bekalan domestik Malaysia yang kukuh memberikan tahap perlindungan yang tinggi daripada kejutan bekalan gas global buat masa ini.
“Walaupun pergantungan kepada import LNG dijangka meningkat secara beransur-ansur apabila medan gas dalam negara semakin matang dan kapasiti loji jana kuasa gas semakin bertambah seiring peralihan daripada arang batu kepada gas, peralihan ini bertujuan menyediakan beban asas di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Keyakinan pelaburan kami terhadap sektor ini masih tidak berubah. Kami menjangka permintaan elektrik yang meningkat dan momentum dasar yang kukuh, dipacu oleh NETR akan mendorong kitaran pelaburan berbilang tahun.
“Selain itu, beberapa masalah khusus syarikat yang menjejaskan harga saham dan pendapatan pada 2025 kini mula berkurangan,” katanya.
CGS International mengekalkan saranan wajaran tinggi terhadap sektor utiliti Malaysia dan menekankan bahawa negara ini memasuki kitaran pelaburan sektor tenaga yang boleh dilaburkan dalam tempoh lebih satu dekad.
Kitaran ini sedang beralih daripada peralihan berfokus kepada tenaga solar kepada pengembangan kapasiti yang lebih luas, meliputi penjanaan berasaskan gas, tenaga boleh baharu, penyimpanan bateri, infrastruktur gas serta peningkatan dan pengemaskinian grid elektrik.
-- BERNAMA