AM

Diskaun Tol 50 Peratus Sempena Aidilfitri - PM Anwar

17/03/2026 05:03 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Kerajaan MADANI mengumumkan diskaun tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Aidilfitri tahun ini bagi mengurangkan kos perjalanan rakyat pulang ke kampung halaman, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri sebagai sebahagian daripada langkah menyeluruh kerajaan membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup khususnya menjelang musim perayaan.

“Inisiatif ini melibatkan tanggungan kewangan berjumlah RM21.03 juta bagi tujuan pampasan kepada syarikat konsesi tol,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Diskaun ini akan berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam pada 18 Mac 2026 (Rabu) hingga 11.59 malam 19 Mac 2026 (Khamis).

Ia melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya, kecuali di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA), katanya yang juga Menteri Kewangan.

Pada masa sama bersempena Aidilfitri, Anwar berkata kerajaan melalui Jabatan Insolvensi Malaysia akan melaksanakan ikhtiar pelepasan kebankrapan secara ‘fast track’ yang dijangka memberi manfaat kepada sekitar 4,000 individu, khususnya ibu dan bapa tunggal.

“Semua langkah ini adalah manifestasi nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat terus menikmati manfaat daripada kemakmuran yang kita usahakan bersama,” katanya.

Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI terus memperhebat pelbagai ikhtiar bagi meringankan beban rakyat sempena Ramadan dan persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata tatkala ekonomi dunia terus berdepan ketidaktentuan, kerajaan mengambil pendirian tegas untuk melindungi kebajikan rakyat melalui pelaksanaan beberapa langkah untuk memastikan persiapan berjalan dengan baik.

Antara langkah tersebut termasuk pemberian cuti tambahan Aidilfitri, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan, bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 kepada 5.2 juta penerima melibatkan RM1.3 bilion serta penyaluran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam, pesara dan veteran.

Selain itu, kerajaan turut memperluas subsidi tiket penerbangan FLYsiswa, melaksanakan hampir 1,900 Program Jualan Rahmah MADANI sepanjang Ramadan serta melarang penjualan minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing bagi memastikan subsidi dinikmati rakyat tempatan.

Sementara itu, Anwar turut mengingatkan rakyat agar terus berbelanja secara berhemah dalam suasana ekonomi global yang masih tidak menentu.

“Dalam keadaan ekonomi dunia yang masih tidak menentu, semua pihak perlu mengurus kewangan secara berdisiplin sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Perdana Menteri mewakili jentera Kerajaan MADANI turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia serta berharap perayaan itu disambut dalam suasana aman dan penuh kesyukuran bersama keluarga tersayang.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2535351