DUNIA

AS Arah Kedutaan Laksana Pelan Keselamatan "segera" Susulan Serangan Di Asia Barat

18/03/2026 11:23 AM

HOUSTON, 18 Mac (Bernama-Anadolu) -- Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) pada Selasa mengarahkan semua kedutaannya  untuk melaksanakan penilaian keselamatan dengan "segera" selepas hampir 300 serangan menyasarkan fasiliti Amerika di seluruh dunia sejak perang dengan Iran bermula tiga minggu lalu, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Washington Post.

Akhbar itu meneliti satu kabel yang dihantar pada Selasa, yang menyatakan bahawa "SEMUA perwakilan di seluruh dunia" perlu mengadakan jawatankuasa tindakan kecemasan, iaitu pasukan pelbagai disiplin yang bertujuan mengenal pasti dan merancang tindak balas terhadap ancaman, serta menilai semula "tahap kesiapsiagaan keselamatan" masing-masing, dengan mengambil kira "situasi berterusan dan yang sedang berkembang di Asia Barat serta potensi kesan limpahan."

Menurut Washington Post, kabel itu ditandatangani Setiausaha Negara Marco Rubio dan arahan berkenaan dikeluarkan oleh Setiausaha Bawah bagi Pengurusan Jason Evans.

Pegawai AS berkata kumpulan militia di Iran dianggarkan telah melancarkan 292 serangan terhadap kemudahan Amerika, kebanyakannya di Asia Barat, sejak 28 Feb dan menimbulkan ancaman "berterusan" terhadap kakitangan AS di rantau itu.

Walaupun arahan serupa telah dihantar kepada perwakilan diplomatik di Asia Barat dalam beberapa minggu kebelakangan ini sejak perang dengan Iran bermula, arahan pada Selasa itu dilihat sebagai kali pertama semua perwakilan di peringkat global diarahkan untuk menilai semula tahap keselamatan susulan konflik berkenaan, lapor akhbar itu.

Beberapa perwakilan Amerika telah ditutup sementara di seluruh dunia dan kakitangan AS diarahkan meninggalkan beberapa negara.

Satu daripada serangan berprofil tinggi berlaku di Kedutaan AS di Riyadh, Arab Saudi. Pegawai berkata premis itu mengalami kerosakan sehingga sebahagiannya "tidak dapat dipulihkan" selepas serangan dron awal bulan ini.

Selain ancaman terhadap kemudahan AS di rantau itu, terdapat beberapa insiden keganasan di seluruh dunia yang menyasarkan perwakilan Amerika, termasuk tembakan di luar Konsulat AS di Toronto, letupan berhampiran Kedutaan AS di Oslo serta serangan ke atas sebuah bangunan apartmen yang menempatkan diplomat Amerika di Israel.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2535577