AM

Kelupis: Simbol Warisan, Hidangan Wajib Pagi Raya Di Sabah

18/03/2026 10:03 PM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

BEAUFORT, 18 Mac (Bernama) -- Bagi kebanyakan keluarga di Sabah, sambutan Aidilfitri terasa tidak lengkap tanpa kelupis, hidangan pulut berbalut daun nyirik yang menjadi juadah wajib pagi raya serta simbol tradisi turun-temurun merentas pelbagai etnik di negeri itu.

Di Sabah, kelupis sering dianggap setara dengan ketupat atau lemang di Semenanjung kerana hampir setiap rumah akan menghidangkannya kepada tetamu, lazimnya disajikan bersama kuah kacang, rendang atau pelbagai lauk tradisional lain.

Kelupis juga bukan hanya sinonim dengan satu etnik sahaja di Sabah, sebaliknya menjadi hidangan tradisi yang dikongsi oleh beberapa komuniti seperti Brunei, Bisaya, Kedayan dan Dusun, menjadikannya antara makanan yang mencerminkan kepelbagaian budaya masyarakat di negeri itu.

Bagi pengusaha kelupis Hamidah Ontong, 39, makanan tradisional itu bukan sekadar hidangan perayaan, tetapi juga simbol warisan keluarga yang diwarisi daripada generasi terdahulu.

“Setiap kali raya mesti ada kelupis. Kalau tiada kelupis, macam ada yang kurang pada suasana raya itu. Di Sabah memang begitu, kelupis sudah jadi tradisi. Macam di Semenanjung kalau raya tiada ketupat atau lemang, begitulah juga kalau di sini tiada kelupis,” katanya kepada Bernama.

Hamidah berkata beliau mula belajar membuat kelupis seawal usia 17 tahun apabila membantu ibunya menyediakan hidangan itu untuk keluarga sebelum akhirnya mampu menghasilkannya sendiri dari awal hingga akhir.

Penyediaan kelupis memerlukan kesabaran dan ketelitian, bermula daripada penyediaan daun pembungkus menggunakan daun nyirik sehinggalah kepada proses memasak pulut yang dicampur santan.

Bahagian paling memakan masa ialah proses membungkus kerana setiap kelupis perlu dibungkus dan diikat satu persatu sebelum disimpan dalam peti sejuk beku bagi mengekalkan ketahanannya.

Secara purata, kira-kira enam hingga tujuh jam diperlukan untuk menghasilkan anggaran 100 biji kelupis, bermula daripada proses menyediakan pulut, santan dan daun pembungkus sehinggalah kerja membungkus satu persatu sebelum direbus sehingga masak.

“Kita bungkus satu-satu lepas itu diikat menggunakan tali. Jadi baru nanti kita simpan dalam peti sejuk beku untuk tahan lebih lama,” katanya.

Hamidah berkata walaupun kelupis sering dikaitkan dengan masyarakat Brunei di Sabah, hidangan tradisional itu turut dikongsi oleh komuniti Bisaya, Kedayan dan Dusun dengan variasi kecil bergantung kepada teknik penyediaan serta cara balutannya.

Kelupis Brunei lazimnya lebih padat dan kaya dengan rasa santan, manakala kelupis daripada komuniti lain mungkin berbeza sedikit dari segi tekstur pulut, saiz serta jenis daun yang digunakan untuk membungkusnya.

Namun, semua variasi itu tetap mengekalkan bahan asas yang sama, iaitu beras pulut dan santan.

“Walaupun kelupis sering dikaitkan dengan masyarakat Brunei, kelupis juga makanan tradisi bagi komuniti Bisaya, Kedayan dan Dusun di Sabah, dengan perbezaan kecil dari segi teknik balutan, tekstur pulut serta cara penyajiannya,” katanya.

Selain menjadi hidangan istimewa ketika Aidilfitri dan Aidiladha, kelupis juga sering dihidangkan dalam pelbagai majlis masyarakat seperti kenduri, majlis perkahwinan, doa selamat serta acara keramaian setempat di sini.

Hamidah yang menjual kelupis pada harga RM1 sebiji berkata dia terus mengekalkan resipi tradisi keluarganya, termasuk menggunakan santan dan kelapa asli bagi memastikan rasa lemak serta tekstur pulut yang lembut dan sempurna.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2535824