PUTRAJAYA, 18 Mac (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan terhadap seorang warga Indonesia kerana mengedar 549.68 gram methamphetamine.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azizul Azmi Adnan, bersama-sama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid sebulat suara menolak rayuan Mohammad Zulfikar Supiyandi Kasmin serta mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadapnya.
Azizul berkata hujahan pihak pembelaan berhubung dakwaan percanggahan masa penyerahan bahan bukti dadah oleh pegawai penyiasat kepada ahli kimia tidak pernah dibangkitkan kepada saksi berkenaan.
Beliau seterusnya berkata bahawa terdapat prinsip umum di mana kegagalan menyoal balas saksi mengenai aspek penting kes dianggap sebagai penerimaan terhadap keterangan saksi tersebut.
Beliau turut menyatakan bahawa kegagalan pegawai penyiasat untuk mengesahkan keadaan penahanan perayu serta cara barang terlarang itu diperoleh tidak menjejaskan kes pendakwaan.
Zulfikar, 26, sebelum ini dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 28 Julai 2024 iaitu penjara seumur hidup dan 12 sebatan atas kesalahan mengedar methamphetamine. Kesalahan itu didakwa dilakukan di satu simpang masuk ke Kampung Nelayan Air Masin Kukup Laut, Johor pada 7.30 malam, 18 Dis 2019.
Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian telah menjalankan serbuan di kawasan berkenaan selepas mengesan seorang lelaki berkelakuan mencurigakan berhampiran pintu masuk kampung sambil membawa beg silang di dada.
Lelaki terbabit, yang kemudian dikenal pasti sebagai tertuduh, ditahan dan diperiksa. Hasil pemeriksaan ke atas begnya menemukan satu bungkusan plastik lutsinar yang dibalut dengan plastik kuning berlabel “refined Chinese tea” mengandungi serbuk kristal putih yang dipercayai dadah.
Dalam prosiding rayuan, peguam Zulfikar, iaitu Ho Zhi Qian berhujah bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta kerana gagal memutuskan bahawa terdapat jurang dalam rangkaian keterangan bagi bahan bukti dadah tersebut.
Beliau berkata berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, terdapat ketidakselarasan dalam rekod berkaitan penyerahan dan penerimaan bahan bukti dadah yang menjejaskan kes pendakwaan terhadap perayu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim menafikan perkara itu dengan menyatakan tiada sebarang jurang dalam rantaian keterangan berkaitan bahan bukti dadah, bermula daripada rampasan oleh pihak polis, analisis, sehinggalah dikemukakan secara rasmi sebagai bukti di mahkamah.
Beliau berkata Mahkamah Tinggi mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan jenis dan berat dadah melalui keterangan saksi serta laporan analisis kimia yang menyokong, dan tiada bukti dikemukakan oleh pihak pembelaan untuk mencabar kesahihan atau ketepatan dapatan ahli kimia tersebut.
Zulfikar masih mempunyai satu lagi saluran rayuan iaitu di Mahkamah Persekutuan.
-- BERNAMA