Oleh Mohd Adli Shahar
SUBANG JAYA, 18 Mac (Bernama) -- Menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, hati mangsa tragedi letupan gas di Kampung Kuala Sungai Baru, Putra Heights di sini masih bergelut dengan debaran dan kesedihan apabila mengenang kembali peristiwa hitam yang menimpa mereka pada hari raya kedua tahun lepas.
Ketika rakyat Malaysia bergembira menyambut hari kedua Syawal pada 1 April tahun lepas, negara dikejutkan dengan letupan gas bawah tanah yang memusnahkan 81 rumah, sekali gus meninggalkan ratusan penduduk dalam kehampaan dan kesuraman.
Bagi Mohamad Nasir Abd Hamid, 70, bekas kontraktor yang menumpahkan peluh selama 30 tahun untuk membina rumahnya sendiri, sambutan tahun ini tidak lagi sama.
Kediaman yang sarat dengan memori kini hanya tinggal puing-puing, menandakan kehilangan bukan sahaja tempat berteduh, malah sebahagian daripada hidupnya.
Meskipun rumah asalnya hanya tinggal dinding tanpa bumbung, Mohamad Nasir tetap memilih untuk bermalam di tapak runtuhan dengan memasang kelambu bagi mengelakkan gigitan nyamuk dan serangga.
“Tapak rumah ini penuh dengan nostalgia dan jiwa saya tenang di sini. Rumah ini saya bina sendiri, sedikit demi sedikit, atas tanah peninggalan ibu bapa saya seluas satu ekar (0.4 hektar). Kehilangan ini terlalu pahit, tetapi saya tidak mampu melepaskan kenangan itu,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.
Struktur asal rumah itu telah dirobohkan sendiri atas faktor keselamatan, namun Mohamad Nasir enggan berpindah jauh dan memilih menunggu Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) siap dibina bersebelahan tapak lama.
Sementara itu, beliau dan isteri, Aliyah Ismail, 56, menyewa rumah berhampiran pada kadar RM1,000 sebulan dan menjalani kehidupan serba kekurangan.
Katanya menjelang Aidilfitri yang juga menandakan hampir setahun insiden yang berlaku pada awal pagi hari raya kedua itu, beliau dan isterinya akan membuat persiapan secara sederhana di rumah sewa sebelum melawat anak-anak mereka di kediaman masing-masing.
“Tidak mengapalah, tahun ini kami menyambut raya secara kecil-kecilan di rumah sewa. Kontraktor memaklumkan rumah baharu akan siap selepas Hari Raya. Saya bersyukur walaupun rumah baharu itu tidak mungkin menandingi kenangan rumah asal,” katanya.
Tragedi letupan itu bukan sahaja meragut tempat berteduh, malah menghancurkan punca pendapatan keluarga apabila semua peralatan perniagaan katering milik isterinya musnah. Kini, mereka kembali berjuang dengan perniagaan kuih secara kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan harian.
“Nak memulakan semula perniagaan katering agak sukar kerana kekurangan modal. Saya pun sudah pencen dan tidak bekerja lagi,” katanya.
Bagi Nurul Adawiyah Mohamad Ahwan, 38, yang berpindah ke rumah gantian SPNB awal tahun ini, sambutan raya tetap dibayangi trauma.
Menurutnya tiga anak perempuannya masih menanggung kesan psikologi, terutama apabila terdengar bunyi kuat seperti guruh atau mercun yang mengingatkan mereka kepada detik mengerikan setahun lalu.
Menurut data Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Petaling, 16 penduduk telah menerima rumah gantian RMR, manakala dua lagi masih menunggu siap.
Insiden letupan saluran paip gas itu meninggalkan kemusnahan besar iaitu 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 separa musnah dan 57 rumah terjejas.
Di sebalik bantuan serta harapan memiliki rumah baharu, luka dan trauma mangsa masih segar, menjadikan Aidilfitri tahun ini lebih sendu daripada sebelumnya.
-- BERNAMA