KANGAR, 18 Mac (Bernama) -- Pejabat Perdana Menteri menerusi Pejabat Pembangunan Persekutuan Perlis, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) akan membantu membina lima rumah baharu mangsa kebakaran di Kampung Pulau Ketam, Kuala Perlis dekat sini semalam.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perlis Noor Amin Ahmad berkata lima rumah yang musnah sepenuhnya itu akan dibina baharu dengan peruntukan RM80,000 sebuah.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perlis berkata bagi tujuan itu, persetujuan kerajaan negeri dari aspek kelulusan tanah diperlukan untuk membolehkan kerja pembinaan rumah tersebut dilakukan.
“Kita sudah berjumpa dengan mangsa kebakaran dan mereka gembira serta bersyukur atas bantuan ini. Saya percaya langkah pembaikan dan pemulihan akan berjalan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita pada penyampaian bantuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di lokasi kejadian dekat sini hari ini.
Hadir sama Pengarah ICU JPM Perlis Maznah Musa.
Noor Amin berkata Perdana Menteri melalui ICU JPM Perlis memberikan bantuan wang tunai keseluruhan RM10,000 kepada mangsa dari lima rumah itu manakala RM3,000 lagi kepada pemilik tiga rumah yang terkena tempias kebakaran tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan keterujaan lima keluarga termasuk warga emas berusia 70 tahun untuk menyambut Aidilfitri lebur setelah kediaman dihuni lebih 50 tahun itu musnah akibat kebakaran pada tengah hari semalam.
Api merebak dengan pantas disebabkan kedudukan rumah yang rapat dan faktor angin kencang.
-- BERNAMA