KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Great Eastern Takaful Berhad (GETB) mempergiat usaha kebajikan melalui penganjuran Jelajah mySalam Edisi Ramadan, inisiatif kebajikan berskala nasional yang menyantuni komuniti B40 di seluruh negara melalui pengagihan juadah berbuka puasa, bantuan keperluan asas dan pemeriksaan kesihatan percuma.
GETB dalam kenyataan memaklumkan jelajah itu dimulakan sekitar Masjid Jamek Kuala Lumpur dengan menyasarkan komuniti gelandangan melalui pengagihan juadah berbuka dan sesi interaksi bagi memahami cabaran harian dihadapi golongan berkenaan.
Program diteruskan ke Kuantan, Pahang melibatkan beberapa aktiviti serentak termasuk Iftar Mahasiswa bersama dengan pelajar di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, kunjungan ke rumah anak-anak yatim dan penganjuran Iftar Perdana di Padang Majlis Perbandaran Kuantan yang menghimpunkan komuniti setempat dalam suasana penuh kebersamaan.
Ketua mySalam di Great Eastern Takaful Syuhaib Ithnin berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan jelajah berkenaan untuk mendekati golongan B40 secara lebih holistik selaras dengan semangat Ramadan yang menekankan nilai keprihatinan dan perkongsian rezeki.
“Melalui Jelajah mySalam Edisi Ramadan, kami bukan sahaja berkongsi rezeki malah ingin memastikan komuniti B40 terus mendapat perhatian, sokongan serta maklumat berkaitan perlindungan kesihatan yang disediakan kerajaan di samping mendengar sendiri suara dan keperluan masyarakat di lapangan,” katanya.
Sementara itu, di Damansara Damai, Selangor, program Iftar Komuniti B40 dianjurkan dengan kerjasama Kedai Abang Tukang Masak dan komuniti setempat yang melibatkan kira-kira 400 penduduk.
Program itu turut menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma di bawah inisiatif PEKAB40 dan agihan bakul makanan asas kepada keluarga B40 terpilih yang ditaja oleh Persatuan Takaful Malaysia bagi membantu meringankan beban kos sara hidup.
Majlis itu diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan Pua Pei Ling.
Jelajah mySalam turut merangkumi kunjungan ke beberapa hospital sekitar Lembah Klang dengan pengagihan pek kurma kepada petugas kesihatan dan pesakit sebelum menutup tirainya di Sabah melalui program menyantuni komuniti penunggang e-panggilan sebagai menghargai komitmen serta pengorbanan mereka sepanjang Ramadan.
Sejak diperkenal pada tahun 2019, program mySalam telah membantu lebih 1.9 juta individu dengan jumlah tuntutan bernilai RM1.398 bilion setakat 28 Feb 2026 sekali gus memperkukuh peranannya dalam memperluas jaringan perlindungan sosial negara.
-- BERNAMA