KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Ringgit Malaysia yang lebih kukuh membantu mengurangkan kesan kenaikan harga import global, walaupun paras liputan import negara telah menurun berbanding paras prapandemik COVID-19, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia Dr Apurva Sanghi.
Dalam satu pengkongsian di akaun X (@ApurvaSanghi), beliau membandingkan tahap kesiapsiagaan ekonomi negara untuk mengharungi kejutan konflik di Asia Barat dengan situasi kejutan COVID-19. Malaysia melaporkan kes positif COVID-19 pertamanya pada 25 Januari, 2020.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, Sanghi berkata kedudukan makroekonomi Malaysia kini secara amnya lebih kukuh berbanding semasa prapandemik, dengan kebanyakan petunjuk utama berada pada tahap yang lebih sihat.
Beliau berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat kepada 5.2 peratus pada 2025 berbanding 4.4 peratus pada 2019, manakala KDNK sebenar perkapita meningkat kepada RM48,200 daripada RM42,500 sebelum ini.
“Pasaran tenaga kerja juga menunjukkan hampir mencapai tahap guna tenaga penuh, dengan kadar pengangguran kini di bawah tiga peratus berbanding 3.3 peratus sebelum pandemik,” katanya.
Bagaimanapun, beberapa petunjuk telah melemah berbanding tempoh pra-COVID, termasuk inflasi, imbangan fiskal, tahap hutang dan paras liputan import.
Inflasi kini berada pada 1.6 peratus berbanding 0.7 peratus pada 2019, defisit fiskal melebar sedikit pada 3.8 peratus daripada KDNK berbanding 3.4 peratus sebelum ini, manakala hutang kerajaan juga meningkat kepada 64.7 peratus daripada KDNK berbanding 52.4 peratus, katanya.
Sementara itu, paras liputan import, iaitu ukuran utama untuk daya tahan luaran, telah menurun kepada 5.8 bulan berbanding 7.5 bulan sebelum pandemik.
Mengenai inflasi, Sanghi berkata tekanan harga kekal terkawal walaupun pertumbuhan lebih kukuh, mencerminkan dinamik inflasi pertumbuhan yang stabil. Bagaimanapun, beliau menekankan ketidakpastian terhadap jangkaan inflasi boleh mempengaruhi prospek.
Dari segi keadaan fiskal, beliau berkata ia kini sedikit lebih tinggi berbanding sebelum COVID.
“Daripada paras tertinggi semasa pandemik iaitu enam peratus daripada KDNK, trend penurunan defisit fiskal adalah menggalakkan (mencerminkan pembaharuan subsidi dan pengukuhan fiskal),” katanya.
Tahap hutang yang tinggi berbanding KDNK merupakan satu kebimbangan, kerana peningkatan bayaran faedah hutang akan mengambil bahagian yang lebih besar daripada hasil kerajaan, yang bermaksud ruang untuk rangsangan fiskal akan berkurang sekiranya ia diperlukan, katanya.
Sanghi berkata struktur ekonomi Malaysia, yang bercirikan gabungan pelbagai komoditi dan sektor pembuatan, kadar pertukaran yang fleksibel dan sistem kewangan yang stabil, terus menyokong daya tahan terhadap kejutan luaran.
Bagaimanapun, beliau menekankan beberapa risiko jangka pendek terutamanya pendedahan Malaysia sebagai ekonomi yang sangat terbuka dan bergantung kepada harga pasaran global terhadap gangguan rantaian bekalan global, khususnya dalam sektor bahan api, makanan dan baja.
“Ringgit yang kukuh menawarkan sedikit kelegaan terhadap harga import yang lebih tinggi, walaupun paras liputan import kini lebih rendah berbanding sebelum COVID-19,” katanya.
Beliau menambah harga tenaga yang berterusan tinggi boleh menjejaskan momentum pelaburan, termasuk dalam sektor yang menggunakan tenaga intensif seperti infrastruktur kecerdasan buatan.
Sanghi juga memberi amaran sektor pelancongan, yang merupakan pemacu pertumbuhan utama pada 2025 dan menyumbang kepada lebihan dagangan dalam sektor perkhidmatan Malaysia yang pertama dalam tempoh 13 tahun, mungkin melemah akibat kenaikan kos perjalanan, terutamanya harga bahan api jet.
Mengenai dasar fiskal, beliau berkata kedudukan Malaysia walaupun tidak lemah, mungkin memerlukan pelarasan selanjutnya, termasuk semakan semula subsidi bahan api.
“Sejauh mana kerajaan akan menyerap kos melalui subsidi berbanding menyalurkannya kepada pengguna, kekal sebagai pertimbangan dasar utama,” katanya sambil menambah sebarang pelarasan harga bahan api perlu dilaksanakan secara berperingkat untuk mengelakkan kesan ekonomi yang lebih meluas.
Secara keseluruhan, Sanghi berkata Malaysia sedang memasuki tempoh ketidakpastian semasa daripada kedudukan yang relatifnya kukuh, walaupun dengan ruang fiskal yang lebih terhad.
Beliau berkata walaupun penurunan ekonomi di Malaysia cenderung berlaku dengan mendadak kerana ekonominya yang terbuka, pemulihan pula biasanya berlaku dengan pantas.
“Adalah mustahil untuk mengatakan bagaimana dan bila ketidakpastian semasa ini akan berakhir.
“Ia bukan panik tetapi persediaan dan bukan sahaja oleh kerajaan tetapi juga oleh rakyat, itulah yang diperlukan,” tambah beliau.
Pada 28 Februari, Israel bersama Amerika Syarikat (AS) melancarkan operasi ketenteraan terhadap Iran, yang kemudian dibalas oleh Iran dengan serangan balas ke atas Israel dan beberapa kepentingan AS di negara-negara Teluk.
-- BERNAMA