AM

Video Khas Raya MCMC Angkat Isu Penipuan Dalam Talian 

19/03/2026 02:49 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerbitkan muzik video khas bersempena dengan Aidilfitri berjudul 19.5 Puasa di Kampom Pisam - Selamat Tenet Raya bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap ancaman penipuan dalam talian.

Video arahan Amen Khalid itu mengetengahkan kisah seorang peniaga kecil dikenali sebagai Pak Jabit, lakonan Aziz M. Osman, yang sibuk membuat persiapan raya di warungnya sambil mengharapkan kepulangan anak ke kampung.

Namun, kegembiraan itu bertukar duka apabila dia menjadi mangsa penipuan selepas menerima mesej mencurigakan, yang membawa kepada kehilangan keseluruhan simpanannya dalam tempoh singkat.

Kejadian itu bukan sahaja menjejaskan persiapan Aidilfitri malah memberi kesan emosi mendalam apabila wang hasil titik peluh yang dikumpul sekian lama hilang sekelip mata.

Pak Jabit kemudian dibantu oleh ahli keluarga dan penduduk Kampom Pisam yang tampil menghulurkan sokongan untuk dia bangkit semula.

Pendekatan penceritaan itu turut menonjolkan nilai kebersamaan masyarakat selain menyampaikan mesej penting mengenai ancaman jenayah siber yang semakin membimbangkan.

Melalui penerbitan video khas itu, MCMC mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang mesej atau pautan tidak dikenali, khususnya ketika musim perayaan apabila aktiviti dalam talian meningkat.

Orang ramai juga disaran agar tidak mudah berkongsi maklumat peribadi atau kewangan serta sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mengambil tindakan.

Inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan MCMC dalam memperkukuh kesedaran keselamatan digital dalam kalangan pengguna.

Video itu diharap dapat menjadi peringatan bahawa kecuaian walaupun sekecil satu klik boleh membawa kepada kerugian besar.

Selain Aziz, video itu menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Bell Ngasri, Kazar Saisi dan Joey Daud.

Muzik video khas itu boleh diakses melalui YouTube https://www.youtube.com/watch?v=qnwSELqGA8I

-- BERNAMA



 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2536010