KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Aliran trafik di lebuh raya utama negara keluar dari Lembah Klang dilaporkan mengalami kesesakan petang ini berikutan pertambahan mendadak jumlah kenderaan susulan cuti Aidilfitri.
Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama berkata bagi arah utara, kesesakan paling ketara dikesan adalah di laluan Tapah menuju ke Gopeng susulan berlaku satu insiden kemalangan maut di kilometer (KM) 296.7.
"Walaupun urusan pembersihan di lokasi kemalangan telah selesai, faktor cuaca hujan di kawasan berkenaan menyumbang kepada kelembapan pergerakan kenderaan," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Selain itu, trafik dilaporkan bergerak perlahan di laluan Bukit Lanjan ke Rawang, Taiping ke Bukit Merah, Jawi ke Bandar Cassia serta Juru menuju ke Bertam.
Bagi laluan ke arah selatan, pergerakan kenderaan perlahan bermula dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ke Kajang serta Bandar Sri Putra ke Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Seremban.
Aliran trafik yang tinggi turut menyebabkan kesesakan di laluan Port Dickson ke Senawang, Pedas Linggi ke Simpang Ampat serta di kawasan Kulai menuju ke Sedenak.
Sementara itu, di pantai timur, kesesakan berlaku di Plaza Tol Gombak sehingga Bukit Tinggi, manakala di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pula, trafik dilaporkan perlahan di laluan Cheneh menuju ke Chukai serta di sekitar Plaza Tol Kuala Terengganu.
Pihak LLM menjangkakan aliran trafik akan terus meningkat hingga tengah malam ini memandangkan hari ini ialah hari terakhir tawaran diskaun tol 50 peratus.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan diskaun tol bersempena dengan sambutan Aidilfitri tahun ini yang berkuat kuasa mulai 12.01 tengah malam semalam (18 Mac) dan tawaran diskaun akan berakhir pada jam 11:59 malam ini.
Pengguna dinasihatkan supaya merancang perjalanan dengan teliti dan mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol LLM 1-800-88-7752 bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan panjang.
-- BERNAMA