AM

'Pushbike' Jadi Terapi Kanak-kanak Istimewa, Bina Stamina Dan Keyakinan

24/03/2026 12:48 PM

Oleh Ahmad Erwan Othman

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Bernama) -- Bagi kebanyakan kanak-kanak, memacu basikal tanpa pengayuh atau pushbike sekadar aktiviti riadah yang menyeronokkan, namun bagi segelintir ibu bapa, sukan dua roda itu membawa makna jauh lebih besar, iaitu sebagai satu bentuk ‘terapi’ santai yang membantu anak-anak mereka mengatasi cabaran kesihatan. 

Daripada membantu kanak-kanak autistik menguruskan tenaga hiperaktif hingga meningkatkan sistem imunisasi badan bagi penghidap asma, sukan yang kian popular itu kini dilihat sebagai platform rehabilitasi santai yang memberikan kesan positif kepada perkembangan fizikal dan emosi kanak-kanak. 

Seorang bapa, Azhari Mohd Daud, 39, berkata keputusan menghantar anak istimewanya, Samiun Mateen, 8, atau mesra dipanggil ‘Iun’ ke sesi latihan pushbike pada Mac tahun lepas bukan sekadar untuk mengisi masa lapang, tetapi sebagai alternatif kepada Terapi Cara Kerja.

"Anak-anak autistik ini, mengikut pandangan pakar, memerlukan ruang untuk melepaskan tenaga kerana mereka cenderung hiperaktif. Di litar pushbike, Iun bukan sahaja mengeluarkan peluh, tetapi dia belajar perkara paling asas dalam terapi, iaitu mendengar dan mengikut arahan jurulatih," katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Berbeza dengan basikal beroda latihan, pushbike melatih keseimbangan badan secara semula jadi kerana kaki kanak-kanak sentiasa mencecah tanah, sekali gus mengurangkan risiko kecederaan akibat terjatuh.

Mohd Azhari yang menetap di Sungai Besi berkata sesi latihan selama dua jam, dua kali seminggu itu secara tidak langsung membantu meningkatkan kemahiran motor halus dan kasar anaknya selain membina fokus yang sering menjadi cabaran utama bagi anak-anak autistik.

“Kita sekadar beriktihar. Alhamdulillah, banyak perkara positif pada Iun. Antaranya dia sudah tidak lagi buat ‘flapping hand’ dan tidak mudah jatuh sakit,” katanya.

Kesan positif sukan ini turut diakui oleh jurulatih kelab 'KL Rocket Team', Mohamad Ady Kurniawan Saprizal, 36, yang menyaksikan sendiri transformasi kesihatan anaknya, Mohamad Rohan Mikhael, 7, yang dahulunya sering mengalami masalah hidung berdarah dan asma kronik.

"Dulu, Rohan kalau lari sedikit sahaja sudah semput. Namun, sejak aktif berlatih pushbike, kekerapan hidung berdarah berkurangan dan masalah asmanya semakin pulih.

“Sukan ini seolah-olah membina imunisasi badan dan stamina yang lebih kuat buatnya," katanya yang mudah disapa dengan gelaran Coach Ewan yang mengendalikan lebih 40 pelumba cilik di kawasan parkir KPJ Ampang.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata kecekapan Rohan mengendalikan basikal tolak itu bukan sahaja memulihkan kesihatannya, malah membuka peluang ke peringkat antarabangsa apabila menduduki tempat kesembilan daripada 38 peserta dalam kejohanan RSR Runbike Songkhla di Thailand, tahun lepas.

Bagi memastikan perkembangan fizikal dan mental pelumba cilik yang dilatihnya selari dengan keupayaan mereka, Coach Ewan membahagikan sesi latihan kepada dua kategori utama, iaitu pemula dan mahir, yang diadakan pada hari berbeza.

Beliau berkata pendekatan untuk kedua-dua kategori ini amat berbeza kerana ia melibatkan tahap perkembangan sensori motor dan emosi kanak-kanak yang tidak sama.

Kisah inspirasi turut dikongsi Farisya Wafa Ab Aziz, 30, mengenai anaknya, Muammad Iyaad Farkhan Izzat Emir, 7, yang sebelum mengenali dunia pushbike sering mengalami sakit sendi serius sehingga menyebabkannya terpaksa mengesot setiap kali demam.

"Selepas konsisten berlatih selama enam bulan, stamina dan antibodinya nampak semakin baik. Malah, dia kini mampu bersaing dalam kelompok tiga teratas kategori tujuh tahun semasa acara Hari Sukan Negara  tahun lepas," kata Farisya yang berasal dari Hulu Langat.

Menariknya, minat Iyaad terhadap sukan itu bermula daripada sebuah basikal tolak terpakai yang dipungut bapanya di tempat pembuangan sampah di tempat kerjanya.

Bagi ibu bapa ini, pushbike bukan sekadar persediaan untuk anak-anak mereka beralih ke basikal berpedal, sebaliknya menjadi medan pembelajaran kehidupan, iaitu tempat keringat membina stamina, arahan membentuk disiplin, dan sokongan keluarga menjadi pemangkin keyakinan diri. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2537015