AM

Sampul Duit Raya Jadi Medium Tingkat Kesedaran Bahasa Isyarat

21/03/2026 02:17 PM

Oleh Siti Baaqiah Mamat

SHAH ALAM, 21 Mac (Bernama) -- Bagi kebanyakan masyarakat, sampul duit raya yang berwarna-warni dan diisi wang sebagai tanda ingatan dan penghargaan hanyalah pelengkap kepada tradisi Aidilfitri.

Namun bagi individu Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran, Mohd Armi Rusli, 43, setiap sampul mempunyai potensi besar sebagai medium pendidikan dan kesedaran.

Mohd Armi yang merupakan pengasas #SignOn yang menawarkan program pembelajaran Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) secara percuma, tampil dengan inisiatif menghasilkan sampul duit raya memaparkan cetakan asas abjad dan nombor dalam BIM.

Beliau berkata idea itu tercetus pada Ramadan tahun lepas semasa memikirkan pendekatan lebih santai untuk memperkenalkan bahasa isyarat kepada masyarakat, khususnya kanak-kanak.

“Pendekatan ini dilihat lebih mudah kerana saban tahun di musim perayaan, sampul raya sangat popular dalam kalangan kanak-kanak, jadi inilah peluang untuk kita perkenalkan kepada mereka, malah orang dewasa yang dapat sampul ini juga pasti teruja untuk belajar sekali.

“Mesej utama inisiatif adalah untuk mendedahkan bahawa komuniti OKU pekak mempunyai bahasa komunikasi tersendiri dan dengan memperkenalkan asas abjad dan nombor ini, mereka yang menerima sampul boleh cuba praktis ejaan dalam BIM,” katanya kepada Bernama. 

Rekaan pada sampul berkenaan memaparkan simbol tangan bagi huruf A hingga Z serta nombor satu hingga 10 iaitu dua komponen asas yang disifatkannya sebagai langkah pertama untuk berkomunikasi dalam bahasa isyarat.

Sebagai seorang OKU pendengaran, Mohd Armi memahami jurang komunikasi yang sering wujud antara komuniti pekak dan masyarakat umum, namun baginya kekurangan bukan pada ketidakupayaan mendengar, sebaliknya pada kurangnya pendedahan dan kefahaman terhadap bahasa isyarat.

Justeru, beliau melihat sampul raya sebagai medium kecil yang mampu mencetuskan perbualan ketika keluarga dan sahabat handai berkumpul di musim perayaan, sekali gus menarik minat orang ramai untuk mengenali asas BIM.

Dari segi penghasilan sampul, Mohd Armi berkata prosesnya tidak rumit kerana beliau hanya perlu menyampaikan idea kepada pasukan pereka grafiknya yang sebelum ini turut menghasilkan baju, poster dan risalah dengan cetakan asas abjad dan nombor yang sama, sebelum mengadaptasikannya ke dalam bentuk sampul duit raya.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu berkata tahun ini menyaksikan peningkatan jualan yang ketara apabila sebanyak 30,000 keping sampul dicetak, iaitu tiga kali ganda berbanding tahun lepas.

“Setakat ini, hampir 500 paket telah terjual, bersamaan 5,000 keping sampul, pada harga RM8 bagi setiap paket yang mengandungi 10 keping,” katanya yang turut berharap pihak korporat mengambil peluang membeli sampul itu untuk diedarkan kepada kakitangan atau pelanggan, sekali gus membantu menyebarkan ilmu BIM.

Mohd Armi memberitahu sebahagian hasil jualan disalurkan untuk menyokong dana kelas bahasa isyarat percuma yang dianjurkan sepanjang tahun, selain menjadi rutinnya memberikan duit raya kepada kanak-kanak yang menghadiri kelas percuma pada bulan Syawal.

“Harapan saya supaya pemberi dan penerima dapat ilmu asas bahasa isyarat ini, seterusnya mengajar seisi keluarga semasa musim perayaan. Bukan sahaja duit raya yang diterima, malah ilmunya sekali, pemberi pula, Insya-Allah, mendapat pahala kerana membantu menyampaikan ilmu ini,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2536432