Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Bekerja dalam sektor pembinaan menuntut Sean Hayden memakai kasut yang sesuai demi keselamatan, namun keadaan tapak projek yang lazimnya becak dan berlumpur terutamanya pada musim hujan, menyebabkan kasutnya cepat kotor dan sukar dijaga.
Biarpun pernah beberapa kali mencuba untuk mencucinya sendiri di rumah, tempoh pengeringan yang mengambil masa lebih daripada sehari menyukarkan kontraktor berusia 29 tahun itu untuk menggunakannya semula dalam kadar segera.
Bagaimanapun, masalah itu kini selesai apabila pemuda tersebut mencuba perkhidmatan dobi kasut yang menawarkan kemudahan mencuci dan mengeringkan kasut dalam tempoh kurang sehari.
pic-2
“Biasanya kalau basuh sendiri di rumah, saya perlu tunggu satu atau dua hari untuk kering. Tetapi di sini, mereka boleh siapkan dalam dua hingga tiga jam sahaja. Kasut pun jadi sangat bersih, macam baharu,” katanya yang sebelum ini lebih senang membeli kasut baharu selepas setahun digunakan, kepada Bernama.
Diusahakan oleh Alastair Louis, 35, di bawah jenama X’press Shoe Laundry sejak hampir dua tahun lepas, anak kelahiran Negeri Di Bawah Bayu ini berkata idea perniagaan itu tercetus berdasarkan pengalamannya yang berdepan kesukaran untuk membawa banyak kasut ketika bertugas di luar kawasan.
pic-3
Pekerjaannya sebagai profesional dalam sektor minyak dan gas, menuntut bapa kepada dua orang anak ini untuk sentiasa tampil kemas dan rapi, namun kekangan membawa banyak kasut sering menjadi cabaran buatnya.
“Apabila kerap melakukan perjalanan, saya menyedari ada keperluan untuk perkhidmatan pembersihan kasut yang pantas dan praktikal, khususnya bagi mereka yang aktif atau kerap bergerak.
“Sebagai penggemar kasut, saya faham dilema pemilik yang sayangkan koleksi mereka tetapi tidak mempunyai ilmu atau masa untuk membersihkannya dengan cara yang betul,” katanya ketika ditemui di kedainya di sini, baru-baru ini.
pic-4
Setiap kasut yang dihantar ke premisnya, menurut Louis akan diperiksa terlebih dahulu dan dibersihkan menggunakan sabun khas mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan berdasarkan pada jenis material bagi memastikan kualiti kasut kekal terpelihara.
Pekerjanya juga perlu menjalani latihan pengendalian pembersihan mengikut teknik yang betul selama kira-kira tiga bulan serta dipantau oleh kakitangan senior sebelum dibenarkan untuk melaksanakannya sendiri, memandangkan kaedah pencucian adalah berbeza bagi setiap jenis kasut.
pic-5
Menyentuh cabaran mengusahakan perkhidmatan itu, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains daripada University of Greenwich, United Kingdom ini berkata antara kesukaran dihadapinya ialah untuk mendapatkan bahan pencuci bersesuaian memandangkan perniagaan dobi kasut masih baharu di negara ini.
“Saya tiada rujukan yang boleh dijadikan panduan termasuk jenis sabun yang sesuai untuk mencuci kasut. Kebanyakannya menggunakan sabun pakaian di rumah, namun cara itu boleh merosakkan material kasut.
“Jadi kami bangunkan sabun khas yang bersifat ‘biodegradable’ supaya lebih selamat pada kasut dan tidak membahayakan alam sekitar,” katanya yang turut menggunakan mesin komersial yang diimport dari China bagi proses pencucian dan pengeringan.
pic-6
Memiliki dua cawangan di Kota Kinabalu, Sabah dan Kuala Lumpur, Louis merancang untuk mengembangkan perniagaannya ke Shah Alam, Selangor dan Tawau, Sabah pada Jun ini selain Cyberjaya pada tahun depan.
“Saya juga berhasrat mengkomersialkan sabun khas yang dibangunkan serta menghasilkan mesin cucian dan pengeringan sendiri bagi mengurangkan kebergantungan pada mesin import pada masa hadapan,” katanya yang berharap lebih ramai pengguna menyedari kepentingan penjagaan kasut dengan betul.
-- BERNAMA