KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada Rabu, disokong oleh peningkatan selera risiko di pasaran serantau walaupun prestasi semalaman Wall Street yang lebih lemah.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 16.61 mata atau 0.97 peratus kepada 1,725.37 daripada 1,708.76 semasa ditutup pada Selasa.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 13.74 mata lebih tinggi kepada 1,722.50.
Pasaran secara keseluruhan adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 257 berbanding 139, manakala 238 kaunter tidak berubah, sebanyak 2,122 kaunter tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan pada 168.76 juta unit bernilai RM176.52 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup lebih rendah dalam persekitaran penjualan saham teknologi dan penjagaan kesihatan. Indeks Dow Jones susut 0.18 peratus, ditutup pada 46,124.06.
Beliau menjangkakan aktiviti dagangan akan menjadi lebih berhati-hati dengan pelabur keberatan untuk membuka kedudukan beli (merujuk kepada tindakan membeli aset dengan jangkaan harganya akan naik) yang baharu di tengah-tengah ketidaktentuan ketika ini.
Dari segi sektor, beliau berkata minat dijangka kekal tertumpu pada kaunter minyak dan gas, manakala harga minyak sawit mentah kekal melebihi RM4,500 satu tan, berkemungkinan akan menyediakan peluang dagangan dalam ruang perladangan.
“Dengan ketiadaan pemangkin yang kukuh, indeks penanda aras dijangka diniagakan dalam jajaran kecil antara 1,700 hingga 1,720 untuk hari ini kerana pelabur terus memantau perkembangan geopolitik dan trend harga komoditi,” katanya.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank menambah 18 sen kepada RM11.52, Public Bank naik sembilan sen kepada RM4.95, CIMB dan IHH Healthcare meningkat lapan sen, masing-masing kepada RM7.91 dan RM9.06, manakala Tenaga Nasional menokok enam sen kepada RM14.34.
Bagi saham paling aktif, Sunway Healthcare menokok 10 sen kepada RM2.10, AirAsia X menambah empat sen kepada RM1.21, Eversendai susut sembilan sen kepada 26.5 sen, Borneo Oil tidak berubah pada setengah sen dan Capital A menokok 0.5 sen kepada 41 sen.
Kaunter paling untung menyaksikan Hong Leong Bank menambah 46 sen kepada RM22.92, Petronas Dagangan melonjak 38 sen kepada RM21.98, Fraser & Neave naik 34 sen kepada RM30.06 dan Nestle naik 28 sen kepada RM98.72.
Kaunter paling rugi ialah Petronas Chemicals susut 26 sen kepada RM5.54, manakala Batu Kawan merosot 22 sen kepada RM19.58, PPB Group berkurangan 12 sen kepada RM11.38 dan MISC menguncup tujuh sen kepada RM8.21.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 naik 103.30 mata kepada 12,386.97, Indeks FBM Emas meningkat 97.29 mata kepada 12,519.10, Indeks FBM ACE menokok 18.71 mata kepada 4,338.65, Indeks FBM Mid 70 menambah 72.08 mata kepada 16,984.34, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 65.10 mata kepada 12,236.72.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 263.15 mata kepada 20,644.09, Indeks Perladangan menambah 10.83 mata kepada 8,649.30, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.40 mata kepada 181.05, manakala Indeks Tenaga susut 4.79 mata kepada 783.21.
-- BERNAMA