DUNIA

Keberangkatan Jemaah Haji Indonesia Diteruskan Mengikut Jadual

25/03/2026 01:38 PM

JAKARTA, 25 Mac (Bernama) -- Keberangkatan jemaah haji Indonesia 2026 ke Tanah Suci akan diteruskan seperti yang dijadualkan walaupun konflik berterusan di Asia Barat.

Menteri Haji dan Umrah Mochamad Irfan Yusuf berkata persiapan dan pengurusan perjalanan tidak terjejas selain semua aspek ibadah haji termasuk penginapan dan pengangkutan telah diatur dengan baik.

Beliau berkata kumpulan pertama jemaah akan berlepas pada 22 April.

"Setakat ini semuanya masih mengikut jadual. Diharap tiada perubahan sehingga 22 April ini," katanya, menurut Agensi Berita ANTARA pada Selasa.

Mochamad Irfan berkata dana disediakan untuk memenuhi semua keperluan operasi dan penerbangan terus ke Arab Saudi masih tersedia serta tidak terjejas oleh perkembangan situasi geopolitik.

"Kami sentiasa berkomunikasi dengan pasukan Kementerian Haji Arab Saudi, dan setakat hari ini, mereka telah menyatakan bahawa tiada perubahan pada jadual," katanya.

Beliau juga memberi jaminan bahawa ibadah umrah terus berjalan dengan selamat dengan pengawasan ketat bagi memastikan jemaah pulang mengikut jadual.

Sementara itu, Duta Besar Arab Saudi ke Indonesia Faisal bin Abdullah Al-Amudi mengesahkan bahawa ibadah haji 2026 akan berjalan dengan selamat dan seperti yang dirancang walaupun berlakunya konflik.

“Alhamdulillah, Kerajaan Arab Saudi kekal selamat sehingga kini,” katanya, menurut Agensi Berita ANTARA.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2537424