ISTANBUL, 25 Mac (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pada Selasa, Washington sedang berhubung dengan pihak yang “tepat” di Iran dan Tehran sangat berhasrat untuk mencapai perjanjian bagi menamatkan perang yang sedang berlaku, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Tiada siapa tahu hendak bercakap dengan siapa, tetapi kami sebenarnya bercakap dengan orang yang tepat,” kata Trump pada majlis angkat sumpah Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS.
Beliau berkata “sebilangan individu” sedang mengadakan rundingan dengan Iran termasuk Naib Presiden JD Vance, Setiausaha Negara Marco Rubio, utusan Steve Witkoff dan Jared Kushner, menantunya.
Kenyataan itu susulan laporan CNN yang mengatakan Washington telah menghubungi Tehran menerusi pelbagai perantara dalam beberapa hari kebelakangan ini untuk melihat potensi perjanjian walaupun tiada sebarang rundingan rasmi.
AS dan Israel melakukan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Feb yang setakat ini membunuh lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi Iran ketika itu Ali Khamenei.
Tehran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel selain Jordan, Iraq dan negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.
Konflik berkenaan menyebabkan korban dan kerosakan pada infrastruktur serta menjejaskan pasaran global dan penerbangan.
-- BERNAMA-ANADOLU