KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan semua pihak tidak memandang ringan soal keselamatan negara susulan ketegangan global yang semakin memuncak dan konflik berterusan di Asia Barat.
Perdana Menteri berkata semua agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu sentiasa berwaspada dengan tempias konflik di Asia Barat, dan tidak leka dengan keamanan domestik.
Beliau berkata tanda-tanda keterdesakan mula muncul pada pelbagai peringkat global, oleh itu PDRM perlu meningkatkan tahap kewaspadaan serta kesiapsiagaan yang lebih tinggi.
“Dan percayalah, jangan anggap ringan dan enteng isu keselamatan negara.
"Kesalahan paling besar sesebuah negara adalah apabila mereka merasa terlalu selesa atau mempunyai 'culture of contentment' (budaya kepuasan) yang menyebabkan mereka cuai dalam faktor menjamin keamanan (walaupun mempunyai) pasukan keselamatan yang ‘luar biasa’.
“Saya minta Ketua Polis Negara untuk memanggil semua pimpinan PDRM bagi meletakkan beberapa strategi baharu untuk memastikan keselamatan kita, dan negara kita terkawal," kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 tahun 2026 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan timbalannya Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay serta pengarah-pengarah Jabatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Anwar menjelaskan kerajaan telah mengadakan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi memantau impak keselamatan serta ekonomi akibat ketegangan global itu.
Beliau turut berkata Malaysia adalah antara negara yang membangun, mempunyai potensi untuk berkembang dan paling aman.
“Ia menyenangkan rakyat kita tetapi menimbulkan keresahan dalam kalangan pesaing atau musuh-musuh kita, jadi harus waspada (soal keselamatan),” kata beliau.
Sementara itu, Anwar memberikan jaminan bahawa kerajaan akan menumpukan perhatian lebih serius terhadap aspek kebajikan anggota PDRM termasuk mempercepat usaha membaik pulih perumahan dan fasiliti yang daif.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana peruntukan bagi kemudahan jabatan-jabatan polis serta kelengkapan perumahan kini diberikan perhatian yang lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelum ini.
"Tanggungjawab rakan-rakan di PDRM dan KDN (Kementerian Dalam Negeri) adalah memastikan (peruntukan ini) dijadikan contoh yang baik melalui ketelusan dan mempertahankan integriti," kata beliau.
Selain aspek kebajikan fizikal, Anwar turut mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk meningkatkan program latihan bagi anggota PDRM, khususnya dalam aspek peningkatan tahap profesionalisme demi mendepani cabaran keselamatan yang semakin kompleks.
-- BERNAMA