AM

Sultan Pahang, Tengku Ampuan Zahir Ucapan Selamat Hari Polis 

25/03/2026 07:46 PM

KUANTAN, 25 Mac (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Hari Polis ke-219 kepada semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota PDRM atas segala jasa, pengorbanan serta komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.

“Semoga seluruh warga PDRM terus diberikan kekuatan, kecekalan dan perlindungan dalam melaksanakan amanah demi agama, bangsa dan tanah air,” titah baginda berdua yang dimuat naik menerusi hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang.

Baginda berdua juga menyeru seluruh rakyat agar terus memberikan sokongan padu kepada pihak pasukan keselamatan, khususnya PDRM dalam usaha mengekalkan keamanan dan keharmonian negara.  

Dalam hantaran sama, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga menzahirkan penghargaan kepada para perajurit negara yang telah gugur mempertahankan kedaulatan tanah air serta mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2537587