JENAYAH & MAHKAMAH

Balai Polis Meru Guna Sistem Loceng Tingkat Keselamatan Selepas Tengah Malam

25/03/2026 09:41 PM

KLANG, 25 Mac (Bernama) -- Balai Polis Meru kini menggunakan sistem loceng bagi mengawal kemasukan orang awam selepas waktu tengah malam, susulan insiden pergaduhan di balai itu pada 2 Mac lepas. 

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao berkata langkah itu diambil bagi memperkukuh aspek keselamatan di balai berkenaan, selain memastikan keselamatan anggota dan orang awam sentiasa terjamin.

“Langkah ini penting kerana masih terdapat banyak balai polis di seluruh negara yang beroperasi di premis lot kedai seperti Balai Polis Meru dan memerlukan kawalan keselamatan lebih berkesan.

“Jadi, antara langkah yang diambil termasuk menutup pintu utama selepas tengah malam dan hanya membenarkan orang awam masuk selepas menekan loceng yang disediakan di luar premis,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Soo Jin, Kapar di sini hari ini.

Vijaya berkata operasi balai tetap berjalan seperti biasa dan loceng itu disediakan bagi memudahkan orang ramai yang ingin berurusan walaupun pintu utama ditutup pada waktu tertentu.

Beliau turut memaklumkan langkah keselamatan lain termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di dalam dan luar balai serta penugasan anggota peronda di kawasan sekitar bagi memastikan pemantauan berterusan.

“Setiap malam sekurang-kurangnya dua anggota akan bertugas di balai, dengan seorang menerima laporan manakala seorang lagi bersiap siaga untuk rondaan atau pemantauan luar,” katanya.

Beliau berkata pendekatan sama telah diamalkan sejak sekian lama di beberapa balai lain di Klang Utara termasuk Bandar Baru Klang, Bukit Raja, Meru dan Bandar Sultan Sulaiman.

Vijaya berkata insiden di Balai Polis Meru itu adalah sesuatu yang tidak dijangka dan berlaku secara tiba-tiba, dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan dan bukan bertujuan menyerang anggota polis.

“Saya berharap orang ramai menghormati balai polis sebagai institusi keselamatan. Jika tidak berpuas hati, selesaikan perkara itu di luar dan salurkan melalui laporan supaya siasatan dapat dijalankan,” katanya.

Dalam kejadian itu, polis menahan lapan individu membabitkan dua kumpulan berlainan dan hasil siasatan tiga individu telah dituduh manakala selebihnya dijadikan saksi.

Kes berkenaan melibatkan beberapa kesalahan termasuk menceroboh masuk ke dalam balai, mencederakan saksi di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967, selain kesalahan membawa senjata dan kes kini dalam proses perbicaraan di Mahkamah Majistret Klang.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2537620