GAYA HIDUP

Aksesori Buatan Tangan Jadi Terapi Emosi, Medium Ekspresi Seni Nurul Zulaika

26/03/2026 09:54 AM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Hanya bermula sekadar suka-suka untuk menghasilkan aksesori wanita sebagai pelengkap gaya buat keluarga dan rakan terdekat, minat yang lahir tanpa perancangan itu tidak disangka berkembang menjadi sebuah jenama dengan identiti tersendiri. 

Jenama ZS Piece yang diusahakan oleh Nurul Zulaika Simon sejak Ogos tahun lepas, mencuri perhatian kerana keunikan aksesorinya yang menggunakan kaca sebagai alternatif kristal, menjadi pilihan bagi mereka yang ingin tampil elegan dengan aksesori pada harga mampu milik. 

pic-2

“Walaupun menggunakan kaca, saya tetap pastikan susunan warna dan rekaan nampak seimbang supaya aksesori ada karakter tersendiri selain pelanggan boleh pilih rekaan ikut cita rasa masing-masing,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Memanfaatkan bakatnya sebagai pelukis hampir lima tahun, usahawan berusia 30 tahun ini berkata penglibatannya dalam seni kraf itu juga sebagai terapi emosi buatnya dan berehat sebentar daripada kesibukan tugas sebagai pensyarah sambilan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan.

“Setiap rekaan melalui proses lakaran serta ujian reka bentuk hingga empat atau lima kali sebelum dipasarkan bagi memastikan keseimbangan warna, kontra dan elemen visual yang mampu menonjolkan karakter aksesori,” kata anak kelahiran Lahad Datu, Sabah ini.

pic-3

Biarpun dijual pada harga mampu milik serendah RM11 hingga RM100 bergantung pada bahan yang digunakan, produk yang dihasilkannya itu boleh digunakan dalam tempoh lama serta tidak mudah rosak sekiranya dijaga dengan betul.

Bagaimanapun, anak bongsu daripada tiga beradik yang memasarkan produknya di pelbagai reruai jualan itu berkata lambakan produk import yang dihasilkan secara pukal telah memberi tekanan kepada penggiat seni kraf tempatan untuk kekal bersaing.

pic-4

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Visual itu berkata keadaan berkenaan turut menjejaskan daya saing produk kraf tangan tempatan berikutan proses penghasilannya masih dilakukan secara manual, sekali gus memerlukan masa dan ketelitian berbanding pengeluaran secara pukal.

“Setiap aksesori dihasilkan satu persatu dengan sentuhan kreatif tersendiri, menjadikannya unik berbanding produk yang dihasilkan secara besar-besaran,” katanya yang bagaimanapun mengakui berdepan kekangan untuk mengembangkan perniagaannya kerana perlu mengimbangi tanggungjawab sebagai pensyarah sambilan, artis visual dan usahawan. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2537680