SHAH ALAM, 25 Mac (Bernama) -- Polis sedang giat mengesan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian kereta jenis Proton Wira di sebuah premis di Seksyen 33, di sini, pada Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Ramsay Embol berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 3.12 pagi daripada pemilik kereta iaitu seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an.
“Kereta pengadu diletakkan di lokasi tersebut pada 21 Mac sebelum dia pulang ke kampung di Tumpat, Kelantan. Bagaimanapun, sebaik pulang dari kampung pada 1.14 pagi, 24 Mac, pengadu mendapati kenderaan itu telah hilang.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua suspek lelaki dipercayai menggunakan sebuah kenderaan lain, mencuri kereta berkenaan. Selain itu, tiada pengawal keselamatan di premis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata usaha mengesan dan menangkap suspek sedang giat dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Shah Alam dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sjn Rafiah Isa, di talian 012-377 0327 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-5520 2222 bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA