MELAKA, 27 Mac (Bernama) -- Polis menahan tujuh individu dan menyelamatkan 14 mangsa dalam dua serbuan berasingan di sekitar negeri ini awal pagi tadi, dipercayai terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi buruh paksa.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata serbuan kira-kira 1 pagi itu dijalankan oleh sepasukan anggota dari Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman di dua lokasi, iaitu di Taman Klebang Besar dan Jalan Tengkera di sini.
"Dalam operasi itu, tujuh suspek berusia antara 19 hingga 38 tahun ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga China, seorang wanita Taiwan, seorang lelaki warga Myanmar serta empat wanita masing-masing dari Myanmar, Filipina dan Indonesia.
“Kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 12 Akta ATIPSOM 2007 kerana disyaki terlibat dalam aktiviti eksploitasi buruh paksa, selain turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata dalam operasi sama, polis turut menyelamatkan 14 mangsa berusia antara 25 hingga 36 tahun, iaitu tujuh lelaki dan enam wanita warga Filipina serta seorang wanita warga Myanmar.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kesemua mangsa dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi buruh paksa dalam aktiviti penipuan dalam talian.
“Mangsa pada asalnya dijanjikan pekerjaan sebagai khidmat pelanggan, namun setibanya di negara ini mereka dipaksa terlibat dalam kegiatan penipuan.
“Mangsa juga dipercayai dikenakan keterikatan hutang, selain pasport dirampas oleh pihak pengurusan serta dikawal ketat dan tidak dibenarkan keluar, malah dipaksa bekerja lebih masa tanpa kerelaan,” katanya.
Beliau berkata kesemua tangkapan dan mangsa telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk tindakan lanjut.
“Permohonan Perintah Perlindungan Interim (IPO) ke atas 14 mangsa dibuat selama 21 hari bermula hari ini hingga 16 April 2026,” katanya.
-- BERNAMA