TAWAU, 27 Mac (Bernama) -- Seorang pekerja stor didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah lebih 3,000 gram, pertengahan bulan ini.
Hadriansyah Sabran, 42, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Lelaki berkenaan didakwa mengedar 3,071.04 gram dadah jenis Methamphetamine di kawasan premis stor penyimpanan kenderaan di Lorong Yong Luk, Jalan Sin Onn di sini kira-kira 7.30 malam, 13 Mac lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berjaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Jeffrey Kadisun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 27 April ini untuk sebutan kes bagi serahan laporan kimia.
-- BERNAMA