KOTA KINABALU, 28 Mac (Bernama) -- Dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak berlaku adil kerana terus melaksanakan pemberian subsidi pukal diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan adalah tidak tepat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata kerajaan tidak pernah berpendirian bahawa penyasaran subsidi diesel tidak akan dilaksanakan di ketiga-tiga wilayah ini, namun akan dilaksanakan secara berperingkat.
“Dasar kerajaan adalah jelas, iaitu melaksanakan reformasi dalam penyaluran subsidi melalui penyasaran subsidi supaya pengagihan lebih berkesan dan sampai kepada golongan sasar.
“Memandangkan ini satu pembaharuan besar, pelaksanaannya perlu dirangka dengan teliti serta dilaksanakan secara berfasa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Armizan berkata Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan sedang meneliti kerangka cadangan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak serta Labuan dan selepas diperkemas, ia kemudiannya akan dibawa untuk perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebelum dilaksanakan.
Beliau berkata kerajaan turut mengambil kira beberapa model sedia ada seperti BUDI95, BUDI MADANI, Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) sebagai rujukan dalam merangka mekanisme terbaik.
Katanya selain itu, persepsi bahawa subsidi diesel tidak diberikan langsung kepada Semenanjung Malaysia juga tidak tepat.
“Subsidi diesel masih disalurkan secara bersasar melalui SKDS dan BUDI MADANI kepada sektor pengangkutan darat, pengangkutan barangan serta kumpulan sasar tertentu,” katanya.
Armizan berkata pelaksanaan di Sabah, Sarawak dan Labuan memerlukan penelitian lebih mendalam berikutan kebergantungan tinggi terhadap diesel serta cabaran geografi dan kos logistik.
“Kos pengangkutan barangan melalui laut dari Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak lebih tinggi berbanding sebahagian besar laluan perdagangan utama di rantau ini seperti China dan India.
“Keadaan ini menyumbang kepada jurang harga barangan yang ketara susulan kos logistik dan kebergantungan kepada import,” katanya.
-- BERNAMA