KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Capital A Bhd melantik Effendy Shahul Hamid sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), berkuat kuasa 6 April, 2026, bagi memperkukuh dan memperkuat jajaran kepimpinan kumpulan seiring dengan langkah syarikat memasuki fasa pertumbuhan seterusnya.
Kumpulan itu berkata kehadiran Effendy akan memperkukuh keupayaan terutamanya dalam aspek keputusan strategik dan penyelarasan ekosistem, sambil memastikan pelaksanaan yang mampan di seluruh perniagaan Capital A ketika syarikat meneruskan pengembangan serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Tan Sri Tony Fernandes berkata pengalaman dan gaya kepimpinan Effendy menjadikannya calon yang sesuai secara semula jadi untuk fasa pertumbuhan seterusnya bagi kumpulan itu.
“Beliau memahami bagaimana ekosistem mewujudkan nilai dan mampu menggerakkan pasukan ke arah matlamat yang ditetapkan dan menghasilkan keputusan yang jelas.
“Pada tahap ini, kami mahu bergerak lebih jauh dan lebih pantas dalam semua perniagaan kami yang berteraskan inovasi digital dan Effendy membawa pengalaman dan perspektif yang tepat seperti yang kami perlukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Effendy berkata ini merupakan peluang yang sangat bermakna dan terlalu baik untuk dilepaskan.
Beliau berkata keupayaan untuk menjana nilai yang berteraskan penggunaan teknologi yang unggul serta pengembangan ekosistem merupakan ciri utama yang perlu dimiliki oleh syarikat terbaik pada masa hadapan.
“Saya berharap untuk kembali menimba ilmu, bekerjasama rapat dengan pelbagai ketua pegawai eksekutif syarikat yang berada di dalam ekosistem kumpulan Capital A dan AirAsia X untuk mencipta dan menyerlahkan potensi tinggi perniagaan masing-masing.
“Saya juga berharap dapat memanfaatkan pengalaman terdahulu saya dalam perkhidmatan kewangan untuk merangka proposisi nilai dalam ruang ini untuk kumpulan,” katanya.
Beliau berkata akses ekosistem dan kes-kes penggunaan Capital A yang kukuh menyediakan platform yang ideal untuk menunjukkan bagaimana masa depan boleh kelihatan dalam vertikal ini.
Effendy yang sebelum ini berkhidmat di CIMB Group, memiliki lebih dua dekad pengalaman kepimpinan serantau merangkumi perbankan, transformasi digital, kerjasama strategik dan pembangunan ekosistem.
Sepanjang 21 tahun beliau bersama kumpulan perbankan itu, beliau menerajui francais runcit serantau, memacu agenda perbankan digital dan mengetuai inisiatif usaha niaga platform pembayaran digital bank berkenaan.
-- BERNAMA