AM

Konflik Asia Barat: PM Pengerusi Mesyuarat MTEN Esok Bincang Strategi Depani Impak

30/03/2026 07:14 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) esok bagi membincangkan strategi mendepani impak konflik geopolitik Asia Barat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata perbincangan mesyuarat itu diharap dapat memberi kelegaan kepada para pemain industri pertanian khususnya dalam sektor perikanan dan penanaman yang kini berdepan cabaran besar akibat perkembangan semasa.

Chan berkata konflik geopolitik di Asia Barat bukan sekadar isu serantau, tetapi telah mencetuskan kesan rantaian di peringkat global termasuk krisis tenaga dan lonjakan harga minyak yang memberi tekanan langsung kepada ekonomi negara-negara di Asia.

“Gangguan di Selat Hormuz memberi isyarat jelas bahawa kestabilan bekalan bahan api dunia tidak boleh lagi diambil mudah. Implikasinya turut dirasai dalam rantaian bekalan makanan, yang akhirnya memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat.

“Walaupun negara kita masih mempunyai tahap daya tahan yang baik dalam menghadapi krisis global ini, kita tidak boleh berasa selesa. Kerajaan komited untuk terus bersiap siaga, dengan mengambil langkah proaktif bagi mendepani pelbagai kemungkinan termasuk senario terburuk,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Terdahulu, Chan menghadiri sesi taklimat pembentangan Kertas MTEN kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dengan fokus khusus kepada kedudukan semasa bekalan makanan negara serta langkah-langkah mitigasi yang perlu diperkukuh.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2539087