AM

Selangor Himpun Wakil Pengusaha Minyak Dan Pakar Ekonomi, Siap Siaga Krisis Bekalan Tenaga

30/03/2026 11:20 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor akan menghimpunkan wakil pengusaha minyak dan gas, pakar ekonomi serta pihak institusi kewangan bagi menyediakan pelan kesiapsiagaan dalam mendepani krisis bekalan tenaga susulan konflik geopolitik di Asia Barat.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah itu penting bagi memastikan kerajaan negeri bersedia mendepani kesan langsung dan tidak langsung terhadap pertumbuhan ekonomi rentetan pergolakan global tersebut.

“Rabu ini, saya akan menghimpunkan beberapa wakil daripada pengusaha minyak dan gas serta ahli ekonomi selain bank dan sektor yang lain supaya kerajaan negeri boleh bersedia berdepan dengan krisis bekalan tenaga yang akan memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada pertumbuhan ekonomi kita," katanya ketika berucap merasmikan Menara Tinjau Ampang atau Puncak ALOP di sini hari ini.

Beliau berkata krisis bekalan tenaga adalah cabaran baharu yang harus dihadapi bersama, dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dijadual memanggil semua Menteri Besar serta Ketua Menteri pada Khamis ini untuk menyediakan kerangka fikir dan tindakan berdepan cabaran berkenaan.

Amirudin turut memaklumkan pemberita bahawa beliau telah meminta pihak yang bertanggungjawab di peringkat kerajaan negeri untuk menyediakan rangka kerja mengenai penetapan bekerja dari rumah bagi penjawat awam.

Beliau berkata kerajaan negeri dijangka meneliti dua pembentangan penting minggu ini sebelum sebarang keputusan dimuktamad dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan datang.

“Kita sedang mengukur dua aspek iaitu produktiviti dan juga tekanan terhadap bahan bakar... walaupun belum sampai ke tahap krisis atau bencana bekalan bahan api sebagaimana berlaku di beberapa negara jiran, kita perlu bersiap sedia dengan data dan angka yang betul untuk menangani perkara tersebut,” katanya.

Mengulas mengenai pembukaan semula Puncak ALOP, Amirudin berkata ia menjadi bukti komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam membangunkan industri pelancongan yang inklusif dan mampan untuk manfaat ekonomi rakyat. 

Beliau juga berkata projek itu bukan sekadar menyediakan tempat rekreasi malah berfungsi sebagai platform untuk memperkasa usahawan tempatan dan memelihara khazanah alam semula jadi. 

​"Banyak kenangan telah tercipta di sini dan hari ini, kita berpeluang membina kenangan baharu yang lebih indah, lebih selamat dan lebih lestari untuk generasi masa depan," katanya.

​Amirudin berkata setiap pembangunan yang dilaksana oleh kerajaan negeri perlu melalui perancangan teliti bagi memastikan keseimbangan antara kemajuan fizikal dan pemuliharaan ekosistem. 

​-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2539158