POLITIK

Nurul Izzah Nafi Letak Jawatan Timbalan Presiden PKR

31/03/2026 12:27 AM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Nurul Izzah Anwar menafikan dakwaan kononnya beliau meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata dakwaan berhubung perkara tersebut adalah tidak benar dan mengesahkan bahawa beliau masih menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh parti.

“Saya kekal menjalankan amanah ini selaras dengan tanggungjawab dan proses parti serta tiada sebarang perubahan dalam struktur kepimpinan.

“Saya menghargai keprihatinan semua pihak dan menggalakkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak disahkan serta sentiasa merujuk kepada kenyataan rasmi parti bagi mendapatkan maklumat yang sahih,” menurutnya dalam kenyataan malam ini. 

Spekulasi Nurul Izzah mengosongkan jawatan Timbalan Presiden PKR tular di media sosial baru-baru ini sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan parti.

Anak kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dipilih sebagai Timbalan Presiden parti berkenaan bagi penggal 2025-2028 pada pemilihan tahun lepas apabila menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli dalam pertandingan satu lawan satu.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2539167