EKONOMI

Pinjaman Isi Rumah Kukuh Disokong Pasaran Tenaga Kerja Menggalakkan – BNM

31/03/2026 10:49 AM

KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Pinjaman isi rumah kukuh pada akhir 2025, disokong oleh keupayaan membayar hutang yang tinggi dan keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, dengan nisbah pinjaman terjejas kekal stabil pada 1.0 peratus, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Bahagian dedahan pinjaman isi rumah yang berada dalam program bantuan bayaran balik pinjaman secara amnya turut stabil pada 1.8 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan, katanya.

“Tanda-tanda kemunculan tekanan kewangan dalam kalangan peminjam isi rumah kekal terhad dan terpencil, tanpa menunjukkan trend yang meluas dari segi bayaran tertunggak merentas kumpulan pendapatan, sektor pekerjaan atau wilayah,” kata BNM dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Tahun Dua 2025 yang dikeluarkan di sini hari ini.

Pada masa hadapan, bank pusat berkata risiko kredit isi rumah dijangka kekal stabil dan terkawal dalam tempoh terdekat, disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang terus menggalakkan.

Bagaimanapun, bank-bank dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) kekal berwaspada terhadap tanda-tanda tekanan kewangan dalam kalangan peminjam serta terus menawarkan bantuan penstrukturan semula pinjaman sekiranya diperlukan.

Menurut bank pusat, pertumbuhan pendapatan termasuk daripada pelarasan gaji penjawat awam pada Januari 2026, dijangka terus menyokong daya tahan isi rumah.

“Meskipun peningkatan pendapatan isi rumah mungkin menyumbang kepada kadar pertumbuhan hutang yang lebih pantas melalui kelayakan pinjaman yang lebih baik, risiko dijangka terkawal berikutan amalan pemberian pinjaman yang kukuh oleh institusi kewangan,” jelas BNM.

Ujian tekanan yang dijalankan oleh BNM juga menunjukkan bahawa di bawah senario buruk seperti kadar pengangguran dan inflasi yang tinggi, beberapa segmen peminjam mudah terjejas kekal terdedah kepada tekanan kewangan.

Segmen ini termasuk peminjam berpendapatan rendah dan peminjam yang mempunyai banyak hutang dengan penampan kewangan yang rendah.

“Dalam keadaan kejutan pasaran pekerja yang teruk dengan kadar pengangguran meningkat kepada 6.0 peratus, sehingga 5.3 peratus daripada jumlah pinjaman isi rumah dalam sistem perbankan berisiko untuk mungkir menjelang akhir 2028,” kata bank pusat.

Bagaimanapun, potensi kerugian ini masih dapat dikawal dengan baik oleh lebihan penampan modal bank-bank, tambah BNM.

-- BERNAMA

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2539243