KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna adalah tepat serta penting bagi melindungi pengguna melalui pengawalan dan penyeliaan ke atas penyedia perkhidmatan kredit dan perkhidmatan kredit bukan bank yang tidak dikawal selia sebelum ini, termasuk penyedia skim ‘beli sekarang bayar kemudian’ (BNPL).
Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), bagi segmen BNPL, dedahan terkumpul kekal kecil pada 0.3 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang isi rumah, meskipun pertumbuhan pesat itu memerlukan pemantauan rapi.
“Penububuhan suruhanjaya itu akan mengawal dan menyelia penyedia kredit bukan bank serta perkhidmatan kredit yang sebelum ini tidak tertakluk kepada pengawalseliaan, termasuk penyedia BNPL di bawah rangka kerja formal pengawalan dan penyeliaan.
“Langkah ini dijangka dapat memperkukuh usaha perlindungan dan pengawasan pengguna sedia ada,” menurut BNM dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Tahun Dua 2025 (ST2 2025) hari ini.
BNM juga menegaskan penggunaan skim BNPL yang semakin meluas kekal menjadi antara bidang pemantauan utama bagi bank pusat berkenaan.
Pada ST2 2025, jumlah bilangan dan nilai transaksi BNPL meningkat masing-masing kepada 140.3 juta transaksi dan RM11.9 bilion berbanding sebanyak 102.6 juta transaksi dan RM9.3 bilion pada ST1 2025.
“Seiring itu, jumlah hutang terkumpul BNPL meningkat kepada RM4.9 bilion setakat akhir Disember 2025 berbanding RM3.8 bilion pada Jun 2025.
“Pertumbuhan segmen BNPL ini terus didorong terutamanya oleh peningkatan mendadak dalam kalangan pengguna aktif BNPL dengan bilangan akaun aktif mencecah mencecah 7.5 juta (Jun 2025: 6.5 juta),” menurut BNM.
Bahagian hutang BNPL yang tertunggak pula stabil pada 3.2 peratus daripada jumlah hutang BNPL terkumpul berbanding 3.2 peratus pada Jun 2025 dan kekal lebih rendah daripada paras dicatatkan pada peringkat awal kemunculan segmen itu yang mencecah 6.0 peratus pada Mac 2023.
-- BERNAMA