PUTRAJAYA, 1 April (Bernama) -- Kerajaan hari ini menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan keluarga Paderi Raymond Koh mendapat akses kepada satu laporan yang diklasifikasikan sebagai sulit.
Peguam Kanan Persekutuan Nurul Farhana Khalid memaklumkan perkara itu kepada panel tiga hakim diketuai Datuk Supang Lian, yang bersidang bersama-sama Datuk Ismail Brahim dan Datuk K. Muniandy.
Beliau berkata langkah itu diambil susulan pemfailan notis pemberhentian prosiding baru-baru ini.
Mahkamah kemudian membatalkan rayuan itu dan mengarahkan agar kos sebanyak RM15,000 dibayar kepada keluarga Koh.
Terdahulu, Nurul Farhana memohon agar mahkamah mengetepikan kos pada prosiding hari ini namun peguam Michelle Wong membantah atas alasan banyak usaha telah dlakukan dalam menangani rayuan itu.
Sehubungan dengan itu, beliau memohon kos sebanyak RM15,000 kerana pihaknya telah memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti baharu bulan lepas.
Pada 5 Nov tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Tiang Joo memutuskan bahawa pihak polis dan kerajaan bertanggungjawab atas kehilangan Koh dan memerintahkan pembayaran ganti rugi lebih RM37 juta.
Keputusan itu kemudian dicabar apabila Jabatan Peguam Negara memfailkan notis rayuan pada keesokan harinya.
Isteri Koh, iaitu Susanna Liew Sow Yoke telah memfailkan saman terhadap pihak polis dan kerajaan berhubung kehilangan suaminya serta cara pihak berkuasa menangani siasatan kes berkenaan.
Koh dilaporkan telah diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng ketika sedang memandu di Kelana Jaya pada 13 Feb 2017.
-- BERNAMA