AM

Pelihara Perpaduan Teras Keamanan Negara - Aaron

05/04/2026 10:37 AM

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang menyeru rakyat Malaysia untuk terus memelihara hubungan antara agama dengan penuh hormat dan kasih sayang demi memastikan keharmonian negara kekal terpelihara.

Beliau menerusi hantaran Facebook sempena sambutan Easter berkata Malaysia dibina atas asas kepelbagaian, justeru keamanan dan perpaduan perlu sentiasa menjadi teras dalam kehidupan berbangsa di negara ini.

“Negara yang aman dan damai mempunyai keupayaan untuk bersaing serta memberi sumbangan pada peringkat global,” katanya. 

Aaron berkata kekuatan Malaysia lahir daripada rakyat yang bersatu padu, saling menghormati serta bekerjasama demi masa depan yang lebih gemilang.

“Marilah kita bersama-sama menzahirkan semangat muhibah dan perpaduan dalam setiap tindakan demi Malaysia yang kita cintai,” katanya.

Pada hantaran itu, beliau berharap keajaiban Easter membawa harapan baharu dan kegembiraan kepada semua. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2541156