KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka mengadakan pertemuan dengan semua Menteri Besar dan Ketua Menteri esok bagi membincangkan krisis tenaga global serta kesannya terhadap ekonomi Malaysia.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pertemuan itu akan meneliti beberapa perkara termasuk ikhtiar serta langkah yang boleh diambil secara bersama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam mendepani situasi semasa.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Sehubungan itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dijangka mengadakan sidang media petang esok, selain kemungkinan kenyataan susulan daripada Perdana Menteri.
Beliau berkata mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (MTEN) yang dijadualkan minggu depan juga akan terus meneliti perkembangan semasa sebelum sebarang kenyataan lanjut dikeluarkan.
Pada 27 Mac lepas, Anwar berkata beliau akan memanggil Menteri Besar, Ketua Menteri dan pemimpin utama parti politik untuk mendengar taklimat mengenai kedudukan semasa ekonomi negara susulan konflik di Asia Barat.
Beliau berkata hasil taklimat yang disampaikan Majlis Keselamatan Negara dan MTEN itu akan menentukan keperluan sama ada wajar sidang Parlimen dipanggil bagi meneliti serta membincangkan langkah seterusnya.
-- BERNAMA