TEHRAN, 3 April (Bernama-MNA) -- Presiden Iran Masoud Pezeshkian menegaskan bahawa negaranya akan teguh mempertahankan diri terhadap penceroboh dengan segala kekuatan yang ada, sambil menekankan bahawa Iran telah diserang ketika rundingan sedang berlangsung, lapor Agensi Berita Mehr (MNA).
Pezeshkian menyatakan demikian dalam satu perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Azerbaijan, Ilham Aliyev lewat Khamis, selain memberi taklimat mengenai perkembangan terkini berhubung pencerobohan tentera Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap negara itu.
Ini termasuk serangan ke atas sekolah, hospital dan infrastruktur industri yang penting.
Pezeshkian menegaskan bahawa negaranya akan menggunakan segala keupayaan untuk mempertahankan diri dengan tegas daripada pihak penceroboh.
Presiden itu turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat dan Kerajaan Azerbaijan atas simpati yang diberikan kepada kerajaan dan rakyat Iran.
Sementara itu, Aliyev menarik perhatian mengenai kesan negatif peperangan terhadap kestabilan dan keselamatan rantau berkenaan, sambil berharap agar keamanan dan kestabilan dapat dipulihkan secepat mungkin.
Kedua-dua presiden itu turut bertukar pandangan mengenai usaha memajukan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang.
-- BERNAMA-MNA