DUNIA

Ketua PBB Sambut Baik Gencatan Senjata As-iran, Gesa Laluan Ke Arah Keamanan Berkekalan

08/04/2026 03:50 PM

WASHINGTON, 8 April (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menyambut baik pengumuman gencatan senjata selama dua minggu oleh Amerika Syarikat (AS) dan Iran, kata jurucakapnya Stephane Dujarric pada Selasa.

Anadolu Ajansi (AA) melaporkan bahawa Guterres “menggesa semua pihak dalam konflik semasa di Asia Barat supaya mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa serta mematuhi syarat gencatan senjata bagi membuka laluan ke arah keamanan berkekalan dan menyeluruh di rantau itu,” kata Dujarric dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan pada Selasa bahawa beliau bersetuju “menangguhkan pengeboman dan serangan terhadap Iran bagi tempoh dua minggu.”

Guterres menegaskan bahawa penamatan segera permusuhan amat penting bagi melindungi nyawa orang awam serta mengurangkan penderitaan kemanusiaan di tengah-tengah krisis yang sedang berterusan.

Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap usaha pengantaraan yang diterajui Pakistan serta negara-negara lain yang berusaha memudah cara perjanjian gencatan senjata itu, menurut Dujarric.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2542465