GAYA HIDUP

Wajah Baharu Jalan Petaling, Tarikan Pelancong Tempatan Dan Antarabangsa

04/04/2026 12:42 PM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Menjengah ke Jalan Petaling atau lebih dikenali sebagai Chinatown, kawasan ikonik ini sekian lama menjadi tumpuan pelancong yang ingin merasai pengalaman tawar-menawar unik selain menikmati kepelbagaian makanan jalanan yang memikat selera.

Dihiasi pemandangan bangunan lama dan bersejarah di sekitarnya, destinasi yang terkenal dengan kemeriahan pasarnya dan kaya dengan khazanah warisan yang dibangunkan era 1800-an itu, turut menjadi tumpuan bagi mereka yang ingin menyaksikan keunikan budaya di ibu negara Malaysia. 

Dan sejak kebelakangan ini, pekan Cina itu tidak lagi sekadar menjadi destinasi beli-belah, tetapi turut menjadi “wajib singgah” bagi penggemar kopi dan mereka yang ingin bersantai di kafe-kafe estetik yang kini semakin meriah menghuni bangunan-bangunan lama sekitar jalan ini. 

pic-2

Istimewanya, penambahbaikan yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama-sama dengan sektor swasta itu tidak hanya tertumpu di Jalan Petaling tetapi juga kawasan sekitar yang sebelum ini suram dan terbiar, seterusnya menjadi lokasi pilihan untuk merakam gambar dan video. 

Lokasi-lokasi mencuri perhatian antaranya ialah Kwai Chai Hong yang terletak di antara Lorong Panggung dan Jalan Petaling, yang suatu ketika dahulu digeruni orang ramai untuk melaluinya. Namun kini berubah wajah secara ketara dan menjadi antara lokasi mural paling popular serta “Instagrammable”.

pic-3

Berlatarkan lukisan interaktif yang mengangkat kehidupan masyarakat sekitar era 1960-an, bukan sahaja Kwai Chai Hong atau dalam bahasa Kantonis pasar bermaksud Lorong Hantu Kecil menjadi tumpuan, tetapi juga Pasar Lee Lam Thye. 

Pembangunan semula Pasar Lee Lam Thye yang terletak di lorong kecil yang selari dengan Jalan Petaling iaitu Jalan Sang Guna (Drury Lane), kini tampil dengan mercu tanda baharu yang diberi nafas segar, menjadi destinasi menarik gabungan seni bina tradisional dan estetika kontemporari. 

Pasar yang mempunyai bumbung hijau tinggi dan dikenali sebagai Green Dragon itu melalui pelbagai transformasi antaranya, proses penggantian bumbung lama kepada struktur lebih kukuh yang siap sepenuhnya pada Disember 2025 selepas melalui tiga fasa pembinaan, bermula April tahun sama.

pic-4

Bagi Yong Onn Min, 55, peniaga cenderamata yang sudah dua dekad mencari rezeki di situ, projek penambahbaikan berkenaan memberi satu kelegaan besar kepada komuniti peniaga yang selama ini dihantui masalah kebocoran.

“Dulu bumbung banyak lubang, air selalu masuk (bocor). Sekarang sudah buat baharu, nampak lebih cantik dan kami tidak lagi risau untuk berniaga walaupun hujan. Walaupun terpaksa tutup kedai selama sebulan secara berfasa ketika pembinaan, ia satu pengorbanan yang berbaloi,” katanya kepada Bernama.

pic-5

Sementara itu, seorang pengunjung, Nur Qalesya Umairah Nurfaizarizal, 17, berkata suasana Jalan Petaling dan kawasan sekitarnya yang kini lebih “hidup”, menjadikannya lokasi pilihan untuk melepaskan tekanan dengan bersantai di kafe unik, namun berharap aspek kebersihan terus dipertingkatkan.

Kepesatan transformasi ini turut menarik perhatian pelancong asing Bui Thi Kim Phuong dari Vietnam, yang tidak menyangka kawasan bersejarah seperti di Chinatown itu boleh berubah wajah dan menyifatkan lorong-lorong seni di situ sebagai destinasi wajib untuk sesi fotografi. 

DBKL dalam kenyataan kepada Bernama memaklumkan projek naik taraf Jalan Petaling yang bermula 3 Mac tahun lepas dijangka siap sepenuhnya pada 1 Mei ini, dengan kerjasama erat Persatuan Penjaja Jalan Petaling, Persatuan Peniaga Jalan Petaling, perunding dan kontraktor.

pic-6

Skop utama projek merangkumi penggantian bumbung sedia ada, pengemasan semula sistem pendawaian elektrik serta penstrukturan semula ruang penjaja kepada kawasan berbumbung yang lebih teratur dan kemas dengan kos keseluruhan dianggarkan RM7 juta.

Kawasan itu turut dilengkapi kamera litar tertutup, pencahayaan, penyediaan tanjakan mesra Orang Kurang Upaya, selain kerja kemasan pendawaian elektrik dilaksanakan menggunakan sistem “underground trenching” bagi mewujudkan persekitaran lebih selamat dan tersusun.

pic-7

DBKL menjelaskan aspek penyelenggaraan jangka panjang akan terus diberi perhatian termasuk mengambil tindakan terhadap sebarang aduan kerosakan fasiliti bagi memastikan kemudahan yang dinaik taraf sentiasa dalam keadaan baik dan berfungsi.

“DBKL komited memastikan infrastruktur dan kemudahan awam sentiasa dalam keadaan terbaik, bersih dan selamat, di samping memastikan operasi penjajaan dan perniagaan mengikut garis panduan ditetapkan, bertujuan memberikan pengalaman selesa kepada pengunjung serta meningkatkan daya tarikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan utama,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2540902