DUNIA

AS Beri Amaran Kepada Warganya Kemungkinan Serangan Terhadap Universiti Di Lubnan

04/04/2026 02:27 PM

BEIRUT, 4 April (Bernama-dpa) -- Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran kepada warganya di Lubnan mengenai kemungkinan serangan terhadap universiti susulan ancaman Iran dan selepas serangan udara AS-Israel ke atas sebuah universiti terkemuka di Tehran, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Situasi keselamatan di Lubnan tidak menentu dan sukar dijangka. 

"Serangan udara, dron dan roket berlaku di seluruh negara terutama di selatan, Beqaa dan beberapa bahagian Beirut,” menurut Kedutaan AS di Beirut pada Jumaat.

“Iran dan kumpulan yang sehaluan dengannya mungkin berhasrat menyasarkan universiti di Lubnan,” menurut kenyataan itu, sambil mendakwa Tehran mengancam universiti-universiti AS di seluruh Asia Barat.

Amaran itu dikeluarkan selepas sebuah universiti terkemuka di Tehran, sekali lagi menjadi sasaran dalam serangan udara terbaharu yang dilancarkan AS dan Israel.

Institut penyelidikan perubatan dan makmal di Universiti Beheshti hampir musnah sepenuhnya dalam serangan itu, menurut Agensi Berita Tasnim.

Kedutaan AS menggesa warganya meninggalkan Lubnan, atau “bersedia untuk berlindung di tempat masing-masing sekiranya keadaan terus merosot.”

Amaran itu juga “sangat menggalakkan” warga AS di selatan Lubnan, berhampiran sempadan dengan Syria, di penempatan pelarian dan di pinggir selatan Beirut, termasuk Dahiyeh, supaya meninggalkan kawasan berkenaan dengan segera.

-- BERNAMA-dpa

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2540936