JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM Tahan CEO Badan Berkanun Disyaki Terima Rasuah Bina Gelanggang Skuasy

14/04/2026 12:03 AM

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun persekutuan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam ini, kerana disyaki menerima rasuah berhubung kontrak pembinaan gelanggang skuasy.

Menurut sumber SPRM, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira 7.20 malam di sebuah pusat beli-belah di Bukit Jalil.

Tangkapan dibuat sejurus suspek dipercayai menerima wang tunai RM100,000 daripada seorang kontraktor binaan.

Difahamkan, suspek sebelum ini meminta wang rasuah berjumlah RM1 juta sebagai balasan untuk memberikan kelulusan bayaran tuntutan kepada kontraktor berkenaan.

"Suspek juga dipercayai telah menerima wang sebanyak RM500,000 sebelum sambutan Aidilfitri lepas sebagai bayaran pendahuluan," menurut sumber itu.

Susulan penahanan itu, suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi permohonan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut .

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
       
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2544538